Baki peruntukan untuk menyiapkan LCS tidak mencukupi -

Baki peruntukan untuk menyiapkan LCS tidak mencukupi

rafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Baki peruntukan untuk menyiapkan keenam-enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak mencukupi kerana jumlah dibelanjakan melebihi RM6 bilion daripada kos keseluruhan RM9 bilion yang diperuntukkan setelah mengambil kira kemajuan projek, setakat ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, berdasarkan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini di mana kos keseluruhan projek LCS akan mencecah RM11 bilion apabila mereka menganggarkan hanya dua kapal boleh disiapkan dengan jumlah tersebut.

“Sebab itu, saya menyeru supaya Hishamuddin menjelaskan kepada rakyat beberapa soalan penting mengenai projek LCS setakat ini iaitu berapa jumlah sebenar kapal LCS yang dibina di bawah kontrak dengan Boustead Naval Shipyard (BNS) yang akan disiapkan dan diserahkan kepada TLDM?

“Berapa kos keseluruhan sebenar yang akan dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyiapkan sejumlah kapal LCS itu? Apakah jadual penyerahan sebenar kapal-kapal ini kepada Tentera Laut Diraja Malaysia?,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Menurut Rafizi, hal ini sehingga ini rakyat Malaysia masih terkeliru dengan jawapan yang bercanggah mengenai kemajuan projek LCS dan kos yang akan ditanggung rakyat apabila Hishamuddin memberi jawapan yang berbeza daripada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

“Laporan-laporan media memetik Hishamuddin menyatakan bahawa kapal LCS pertama akan mula beroperasi dalam satu atau dua tahun dari sekarang seperti jawapannya di Dewan Negara pada 8 Ogos. Ini bermakna penyerahan kapal LCS pertama dijangka dalam 2023 atau 2024.

“Kenyataan ini bercanggah dengan tarikh penyerahan seperti yang dinyatakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam satu temu ramah pada 13 September bersempena Hari Angkatan Tentera.

“Menurut beliau (Affendi), jadual penyerahan kapal LCS adalah seperti berikut: Kapal pertama (Januari 2026), kapal kedua (September 2026), kapal ketiga (Mei 2027), kapal keempat (Januari 2028) dan kapal kelima (September 2028),” ujar Rafizi.

Kata Rafizi, perkara itu penting kerana kelewatan projek LCS sekarang sudah pun meletakkan tentera kita di belakang negara-negara serantau di samping kapal yang sepatutnya diserahkan dalam masa satu dua tahun ini dirancang dan dibina menggunakan teknologi sedekad lalu. 

Jelasnya, adalah tidak masuk akal untuk meneruskan kontrak sedia ada dengan BNS yang menggunakan spesifikasi sepuluh tahun lalu pada kos yang berkali ganda kerana itu akan terus meminggirkan keupayaan pertahanan tentera kita berbanding dengan negara serantau. 

“Kita sewajarnya membina keupayaan pertahanan yang setanding dengan negara serantau seperti Indonesia. Semakan menunjukkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mempunyai pelan jangka panjang memodenkan armada tentera lautnya,” katanya.

Sebab itu kata Rafizi, skandal LCS yang berlaku sewajarnya meletakkan tumpuan negara kepada persoalan peruntukan berbilion ringgit yang dibazirkan akibat penyelewengan sedangkan keupayaan pertahanan negara terus menjadi usang.

Oleh itu, beliau menyeru supaya Hishamuddin berterus terang mengenai jumlah sebenar yang akan dibelanjakan di bawah kontrak sedia ada dengan BNS dan berapa kapal sebenarnya yang akan siap dan diserahkan kepada TLDM.

“Jawapannya kelak akan membuka perdebatan baru mengenai sejauh mana armada TLDM kita ketinggalan berbanding dengan negara serantau,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya