"Saya melihat perkara ini jauh lebih penting daripada

Bajet 2023: Beri tumpuan pembangunan belia, pemimpin muda

AHMAD Faizal Azumu membuat senam robik bersama para pelajar sempena perasmian Stadium Mini Arena SMK BBU, Johor Bahru di sini hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS), berharap program pembangunan belia dan pemimpin muda perlu diberi tumpuan dalam Bajet 2023 selain daripada pembangunan sukan.  

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Kementerian Kewangan perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi pelaksanaan Program Malaysia Future Leaders School (MFLS).

Menurutnya, menerusi MFLS dapat melaksanakan hasrat kerajaan memastikan masa depan negara terjamin dengan menyemarakkan lagi potensi belia sebagai pemimpin dan tanggungjawab mereka.

“Saya melihat perkara ini jauh lebih penting daripada pembangunan sukan yang perlu dilaksanakan dengan memberi penekanan dalam melahirkan pemimpin muda. 

“Saya percaya Kementerian Kewangan akan memberi kita peruntukan secukupnya bagi memastikan program-program sebegini kita dapat dilaksanakan.

“Menerusi program MFLS ini mampu menyemarakkan lagi potensi belia sebagai pemimpin, memberi pendedahan kepada para belia tentang tanggungjawab mereka menerusi Undi18 dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Stadium Mini Arena di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan,  Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.

Program MFLS di bawah Institut Pembangunan dan Kecermerlangan Kepimpinan (i-LEAD) yang dijalankan sejak tiga tahun lalu sudah melatih seramai 65,931 peserta.

Objektif utama program tersebut mencakupi tujuh elemen, iaitu kepimpinan, kenegaraan, pembentukan watak dan jati diri, keusahawanan, kesukarelawan, komunikasi dan pengantarabangsaan.

Menerusi program itu, acara seperti bicara tokoh, pengenalan sukarelawan, lawatan institusi dan Parlimen belia dijalankan sebagai pendedahan secara langsung kepada peserta.

Ahmad Faizal menambah, bagi tujuan memperkasakan sukan, KBS mahu usaha menghidupkan industri sukan menerusi ‘Malaysia Sport League (MSL)’, ‘Malaysia Little League (MLL)’ diteruskan kerana mampu memberi limpahan ekonomi kepada negara.

“Apabila ini semua dibudayakan, limpahan ekonomi kepada negara menjadi lebih besar, rakyat menjadi cerdas dan sihat. Ia turut memberi nilai tambah kepada bekas atlet dengan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Bajet 2023 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya