Anak rayu bantu cari bapa - Utusan Malaysia

Anak rayu bantu cari bapa

MUHAMMAD Haikal Mohd. Noor menunjukkan gambar terkini bapanya, ketika ditemui di Kampung Batu 1, Pedas, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang anak merayu bantuan orang ramai untuk mencari bapanya yang tidak pulang-pulang ke rumah sejak hari Sabtu lalu setelah menghadiri majlis kesyukuran saudara mereka di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Muhammad Haikal Mohd. Noor, 21, berkata, kehilangan bapanya, Mohd. Noor Mahamed, 64, itu membimbangkan seluruh ahli keluarga apalagi bapanya tidak biasa memandu ke ibu negara.

Menurutnya, pada hari kejadian dia sedang bekerja di kilang dan dimaklumkan bapanya sudah beredar dari majlis kenduri tersebut sekitar pukul 4 petang.

“Sehingga pukul 12 tengah malam, bapa masih tidak sampai ke rumah. Puas saya mencarinya di Kuala Lumpur dan berhenti di setiap kawasan rehat dan rawat (RnR), namun tetap tidak menemuinya. 

“Jadi saya mohon kepada mana-mana individu yang ada terlihat individu mirip bapa saya mahupun kenderaan jenis Proton Wira berwarna merah dengan nombor pendaftaran JHL 6493 yang digunakan bapa, untuk memaklumkan kepada kami atau polis,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Batu 1, Pedas, di sini, hari ini.

Susulan kejadian tersebut, Muhammad Haikal memberitahu telah membuat laporan di Balai Polis Pedas, malam semalam.

“Sejak saya memuat naik butiran kejadian itu di media sosial, saya ada menerima panggilan yang memaklumkan ternampak kenderaan bapa dan menghala ke Selatan. Saya cuba mencari sehingga ke Tangkak, Johor namun tidak berjaya mengesannya,” katanya yang memberitahu bapanya tidak mempunyai telefon bimbit.

Individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian, boleh menghubungi Muhammad Haikal di talian 011-40107822. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN