Ambank bayar RM2.83 bilion elak dikait dengan 1MDB -

Ambank bayar RM2.83 bilion elak dikait dengan 1MDB

Datin Seri Rosmah Mansor diiringi anaknya. Nooryana Najwa keluar dari mahkamah selepas menghadiri prosiding kes 1MDB yang melibatkan suaminya, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, Ambank membayar penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion kepada Kerajaan Malaysia supaya bank itu tidak dikaitkan dengan isu melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 43, berkata, beliau dimaklumkan bahawa penyelesaian itu hanya melibatkan akaun 1MDB di bank berkenaan namun tidak mengetahui sama ada ia ada kena mengena dengan akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika disoal balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili bekas Perdana Menteri, saksi pendakwaan ke-37 mengakui penyelesaian itu merupakan jumlah yang sangat banyak.

Uma Devi menyatakan, bagaimanapun beliau tidak mengetahui butiran terperinci mengenai perjanjian penyelesaian di antara bank itu dengan kerajaan.

Menurut laporan TheEdge Markets pada 2 Julai 2021, Kementerian Kewangan mengumumkan Kerajaan Malaysia menerima pembayaran pertama daripada Ambank sebanyak RM1.8 bilion melibatkan penyelesaian di antara kedua-dua pihak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian, penyelesaian itu disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia dan bakinya diselesaikan pada Julai lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib, 69, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya