Akaun AmBank Najib dikendali secara berhati-hati -

Akaun AmBank Najib dikendali secara berhati-hati

DATIN Seri Rosmah Mansor ketika tiba bagi menghadiri prosiding kes menerima suapan dan penggubahan wang haram membabitkan dana 1MDB yang melibatkan suaminya, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak dikendalikan secara berhati-hati kerana beliau dikategorikan sebagai individu yang terdedah secara politik kepada umum.

Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank, Yap Wai Keat, 57, berkata, akaun AmIslamic bekas Perdana Menteri disifatkan sebagai sensitif.

Saksi pendakwaan ke-38 berkata, oleh yang demikian AmBank perlu mengendalikan akaun tersebut secara berhati-hati kerana transaksi keluar masuk melibatkan jumlah yang besar.

Menjawab soalan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed pada sesi soal balas, beliau berkata, jika transaksi besar seperti itu diketahui oleh pasaran matawang, dikhuatiri akan memberi kesan kepada nilai ringgit.

Wai Keat memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib, 69, yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Wan Aizuddin: “Katakan AS$10 juta dipindah masuk ke dalam negara untuk ditukar kepada ringgit dan penerima bukan Najib, adakah ia akan mengubah kedudukan pasaran?

Wai Keat: Ia tidak akan mengubah kedudukan pasaran kerana jumlah itu sedikit dibandingkan dengan AS$680 juta (transaksi wang masuk dalam akaun Najib).

Ujar beliau, sehubungan itu, pihak bank perlu lebih berhati-hati sehingga menyebabkan Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu mewujudkan kod nama AmPrivate Banking – MR bagi akaun Najib.

Saksi turut ditanya mengapa Joanna memberitahunya akaun itu milik Najib ketika menguruskannya.

Ujar Wai Keat, tindakan itu bagi membolehkan beliau merekodkannya dengan betul ke dalam sistem tanpa mengambil sebarang risiko.

Ujar beliau, transaksi kemasukan wang daripada pelbagai pihak ke dalam akaun Najib diketahui oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan tidak menimbulkan keraguan di pihak bank pusat itu.

Wai Keat turut berkata, beliau tidak dapat mengingati tujuan wang berjumlah RMRM60.6 juta dipindah masuk ke dalam akaun Najib pada 2011 oleh putera Arab Saudi, Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud.

Kelmarin Wai Keat dalam pernyataan bertulisnya menyatakan, sejumlah RM2.23 bilion didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib termasuk daripada dua syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut Wai Keat, sejumlah RM2.17 bilion diterima daripada Blackstone Asia Real Estate Partners dan Tanore Finance Corp. di antara 2012 dan 2013.

Dalam keterangannya semalam, saksi berkata, BNM mengetahui dua kemasukan wang RM60.6 juta daripada kerabat Diraja Arab Saudi ke dalam akaun peribadi Najib kerana transaksi itu tidak dipersoal oleh bank pusat tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib, 69, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya