KUALA LANGAT: Bacaan paras air sekitar pukul 7.23 pagi tadi di kawasan Pantai Kelanang di sini menunjukkan paras air laut naik setinggi 5.4 meter.
Penolong Penyelaras Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Shahrul Nizam Khalil berkata, skuad ini akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dengan kelengkapan aset yang ada.
“Pasukan Skuad Pantas MPKL bersama-sama Pegawai Penguatkuasa MPKL telah membuat tinjauan fenomena air pasang besar di Pantai Kelanang pada 7.20 pagi tadi.
“Kami akan terus menjalankan pemantauan harian sepanjang fenomena air pasang yang dijangka berakhir 29 September ini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemantauan berkala air pasang besar di Pantai Kelanang hari ini.
Shahrul Nizam berkata, fenomena air pasang besar yang berlaku di sekitar kawasan-kawasan pantai daerah Kuala Langat yang telah bermula sejak semalam dan dijangka berakhir esok.
“Keadaan Pantai Kelanang masih terkawal dan terdapat sedikit limpahan air yang berlaku, namun masih dalam keadaan selamat.
“MPKL mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan media yang membuat liputan bagi menyalurkan maklumat sahih kepada orang awam,”katanya. –UTUSAN