Warga emas terkejut diisytihar 'mati' gara-gara hilang MyKad - Utusan Malaysia

Warga emas terkejut diisytihar ‘mati’ gara-gara hilang MyKad

LOW CHOO CHOON (kanan) berdepan pelbagai masalah setelah diisytihar sudah 'mati' sejak lapan bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu van, Low Choo Choon, 71, berdepan pelbagai masalah setelah diisytiharkan ‘meninggal dunia’  kira-kira lapan bulan lalu.

Warga emas itu hanya menyedari status dirinya sudah ‘mati’ ketika mahu membuat laporan polis ekoran kehilangan MyKad, Januari lalu.

Pelbagai usaha dilakukannya termasuk membuat laporan polis dan memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk penyelesaian segera.

“Saya sudah melaporkan perkara ini di JPN di Setia Tropika pada 2 Jun lalu, namun, sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Sejak itu, sudah beberapa kali saya pergi ke JPN, ada mereka suruh datang dua minggu lagi, tetapi, apabila datang, macam-macam alasan diberi, namun, masalah tetap tidak selesai walaupun surat rasmi telah dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di Setia Tropika, di sini hari ini.

Choo Choon mengakui menghadapi banyak masalah sejak itu apatah lagi dengan maklumat pengenalan dirinya direkodkan sebagai sudah meninggal dunia.

“Lesen memandu saya bakal tamat tempoh pada bulan depan, pasti sukar untuk saya memperbaharuinya. Ini secara langsung akan menyukarkan saya untuk terus pergi bekerja sekiranya tidak mempunyai lesen.

“Saya juga amat bimbang sekiranya pihak bank menutup akaun bank kerana status tersebut sehingga menyebabkan saya tidak dapat mengeluarkan wang yang disimpan,” ujarnya.

Justeru, dia berharap pihak berkuasa khususnya JPN dapat memperbetulkan status dirinya daripada sudah meninggal dunia kepada masih hidup bagi membolehkannya meneruskan kehidupan.

“Saya mohon jasa baik pihak JPN untuk mengaktifkan semula kad pengenalan saya, saya sudah berusia dan kurang sihat, penat sekiranya saya masih perlu turun naik ke bangunan JPN untuk menguruskan hal ini,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya