Warga emas hilang 6 hari ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Warga emas hilang 6 hari ditemukan selamat

PAINAH SIWAN ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran lopak air selepas dilaporkan hilang sejak 10 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT:  Warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi pada 10 Ogos lalu ditemukan selamat iaitu hanya 1.4 Kilometer dari rumahnya pukul 11.25 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, selepas lima hari usaha pencarian dilakukan, akhirnya Painah Siwan, 79, ditemukan dalam keadaan selamat.

Katanya, warga emas yang ditemukan berhampiran lopak air dalam keadaan lemah oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 900 meter dari pusat kawalan operasi.

“Turut ditemukan bersama wanita berkenaan adalah sepasang selipar dan secekak lidi daun kelapa sawit yang sudah siap diraut.

“Wanita itu kemudiannya di rujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk pemeriksaan kesihatan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sementara itu, anak mangsa, Sadiah Mohari, 42, bersyukur atas penemuan ibunya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu sepanjang tempoh pencarian.

“Syukur Alhamdulilah, pagi ini kami menerima berita yang dinantikan selama enam hari dan yang paling penting ibu ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada 10 Ogos lalu, Painah dilaporkan hilang selepas keluar mencari daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi di kebun kelapa sawit di belakang rumahnya di Kampung Parit Kasih Sayang, Senggarang.

Sebuah pasukan mencari dan menyelamat ditubuhkan melibatkan seramai 187 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk setempat. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya