SHAH ALAM: Tindakan licik seorang wanita berusia 42 tahun dikenali sebagai Sally menipu dalam jual beli barang kemas dengan membelinya secara pukal terbongkar dalam keadaan tergesa-gesa apabila sebanyak 1.5 kilogram emas dikenal pasti hilang oleh sebuah kedai di Seksyen 7 di sini.
Kelicikannya itu terbongkar apabila dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selepas pemilik kedai terbabit mengesyaki 1.5 kg stok emasnya hilang menerusi laporan audit pada 19 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pemilik kedai emas tersebut membuat laporan polis pada 19 Julai lalu dan hasil siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menyerbu sebuah rumah di Apartment Seri Dahlia di Bandar Bukit Puchong.
“Serbuan dilaksanakan di sekitar Bandar Puteri Puchong sekitar pukul 7 pagi hingga 9 malam semalam dan menahan suspek utama iaitu Sally bersama dengan adiknya berusia 39 tahun.
“Dalam serbuan tersebut, polis merampas tiga utas rantai, tiga cincin, satu utas gelang, satu loket dan dua pasang subang serta wang tunai RM414,700. Turut dirampas, sebuah kereta digunakan suspek utama iaitu Toyota Harrier,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau menambah, dalam serbuan sama, polis turut merampas empat utas rantai, empat bentuk cincin, tiga utas gelang, satu bentuk loket, dua pasang subang serta empat telefon bimbit.
Selain itu, polis turut menahan seorang lelaki di Jalan Tunku Ampuan Zabedah di Seksyen 9 dan merampas 43 barang kemas dan dua keping resit bayaran atas nama Sally.
Hasil siasatan terhadap suspek yang tinggal bersama adiknya itu, polis kemudian menyerbu sebuah kedai pajak gadai di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini dan merampas empat lagi barang kemas termasuk rantai, cincin dan gelang.
“Hasil maklumat Sally juga, polis menahan pekerja pengadu serta merampas beberapa barang kemas iaitu satu utas rantai, satu bentuk cincin, dua utas gelang dan juga beberapa dokumen pajak gadai yang dipercayai dilupuskan oleh suspek ketiga.
“Kegiatan ini dipercayai bermula sekitar tahun lalu apabila suspek akan bersubahat dengan staf kedai emas bagi membuat pembelian barang kemas dengan mendapatkan timbangan berlebihan. Seterusnya barang kemas tersebut dijual kepada kedai pajak gadai atau emas lain untuk mendapatkan keuntungan,” jelasnya.
Kata Mohd. Iqbal lagi, keseluruhan tangkapan adalah seramai 10 orang termasuk tiga suspek utama iaitu Sally, adiknya dan seorang pekerja kedai emas yang menerima sogokan sebanyak RM3,000 bagi bagi setiap transaksi.
Polis membuat siasatan terhadap kesemua suspek di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara satu hingga 14 tahun, sebat dan juga denda.
“Lebih 150 transaksi jual beli emas dilakukan Sally bersama pekerja terbabit. Susulan tangkapan, hanya dia (Sally) serta adiknya ditahan reman selama lima hari sehingga 8 Ogos ini sementara suspek ketiga direman sehingga 6 Ogos. Permohonan tujuh yang lain pula ditolak,” ujarnya. – UTUSAN