Unimap beri pendedahan kepada mahasiswa Undi18 -

Unimap beri pendedahan kepada mahasiswa Undi18

NORAINI Ahmad (tiga dari kanan) bersama Zaliman Sauli (dua dari kiri) bergambar selepas Majlis Menandatangani MoU Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti dengan SPR di KPT, semalam. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) merangka pelbagai program bagi memberi pendedahan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) itu tentang sistem demokrasi, pilihan raya dan politik negara.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, sebanyak lapan program pendidikan pengundi dirangka sepanjang tahun ini bagi menyokong inisiatif Undi18 melibatkan penuntut di universiti berkenaan.

Katanya, antara program yang dilaksanakan sejak awal tahun ini adalah membabitkan penubuhan Sekreteriat Undi18 (SU18) Unimap dengan kerjasama Sekreteriat Rukun Negara (SRN).

“SU18 berperanan untuk merancang dan melaksanakan aktiviti kesedaran berkaitan Undi 18 yang telah dilaksanakan.

“Terbaru, Wacana Minda Unimap Siri 4: Bicara Anak Muda Undi 18 Bersama Pelajar Baharu Diploma turut dilaksanakan bertujuan bagi memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam meraikan demokrasi berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Inisiatif dilaksanakan Unimap itu adalah selaras dengan amanat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebelum ini yang mahukan agar penekanan dapat diberikan membabitkan sesi libat urus bagi mendengar idea, pandangan dan kesedaran terutamanya berkaitan literasi politik berhubung Undi 18.

Unimap turut menjadi antara IPT yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Akademi Pilihan Raya (APR) dengan disaksikan sendiri oleh Noraini.

Mengulas lanjut, Zaliman berkata, beberapa program lain seperti Bengkel Persidangan Mahasiswa Unimap (Persima), Seminar Kepimpinan Altruistik Undi 18, Program Kembara Mahasiswa Negeri Perak dan Sembang Santai Undi 18 Bersama Mahasiswa Anak Kelantan telah dilaksanakan di universiti berkenaan sebelum ini.

“Bagi memberi kesedaran kepada mahasiswa Unimap, ambilan Ijazah Sarjana Muda juga bakal didedahkan dengan beberapa program seperti Wacana Minda Unimap dan Bicara Anak Muda Undi18 Bersama Pelajar Baharu,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unimap, Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan berkata, MoU antara SPR dan KPT sebelum ini merupakan usaha terbaik bagi memupuk minat mahasiswa untuk lebih cakna dengan perkembangan politik negara.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang membenarkan mahasiswa untuk terlibat dengan aktiviti politik di dalam dan luar kampus.

“Universiti awam perlu bergerak lebih proaktif dalam memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang kepentingan turun mengundi,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya