Undi18 kelebihan bagi BN - Isham - Utusan Malaysia

Undi18 kelebihan bagi BN – Isham

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kehadiran pengundi 18 tahun ke atas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat akan memberi kelebihan serta kunci kemenangan bagi Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil berkata, perkara itu berdasarkan kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menjadi permulaan pengenalan Undi 18 di negara ini.

Menurutnya, orang muda kembali meletakkan kepercayaan kepada BN setelah golongan terbabit merasakan dikhianati oleh Pakatan Harapan (PH) apabila gagal melaksanakan manifesto yang ditaburkan pada PRU14.

“Kalau tengok trend PRN sebelum ini kelebihan (undi muda) adalah kepada BN. Post mortem yang dibuat pada PRN Johor mendapati undi menerusi saluran orang muda dengan majoriti 70 hingga 80 peratus berpihak kepada kita.

“Kita juga dapati selepas PRU14, saluran muda kita berubah 180 darjah. Dahulunya orang muda tidak sokong kita, tetapi selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) dan beberapa siri PRN termasuk PRN Johor orang muda sokong kita,” katanya selepas Majlis Ceramah Khas Menyantuni Pimpinan Masyarakat Parlimen Johor Bahru di Dewan Jubli Perak Bandar Baru Uda, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Isham memberitahu, perubahan itu berlaku kerana golongan muda menolak PH yang memungkiri janji manifesto selain tidak suka dengan tindakan lompat parti dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Katanya, golongan muda mengikuti perkembangan politik negara dan mahukan parti yang betul-betul mahu memperjuangkan isu rakyat.

“Golongan muda ini tidak suka cara politik yang negatif seperti tidak menepati janji manifesto atau lompat parti dan khianati parti demi kuasa.

“Mereka ini juga peka dengan isu semasa. Oleh itu, bila ada hasutan atau fitnah yang tidak tahu sahih atau tidak, sekiranya tidak ditangani dengan segera, sokongan mereka akan bertukar,” katanya.

Mengenai keyakinan menambat pengundi di kawasan bandar, Isham berkata, BN dilihat mempunyai kelebihan berbanding parti lain pada ketika ini, sekali gus menguatkan peluang untuk menambah kerusi Parlimen pada PRU15 kelak.

Katanya, warga kota tidak akan lupa tentang ‘kerosakan’ yang dilakukan kerajaan PH dan PN ketika diberikan peluang untuk mentadbir negara dalam tempoh yang singkat.

“Semasa PH memerintah, hasil kerajaan merudum dan banyak aset negara dijual. PH yang memperkenalkan semula
Cukai jualan dan Perkhidmatan (SST) menyebabkan kerajaan hilang hasil RM25 bilion setahun sehingga terpaksa potong subsidi dan pelbagai bantuan.

“PN pula adalah kerajaan paling lama membuat ‘lockdown’ dan kesannya ramai yang di bandar khususnya hilang punca pendapatan. Jadi, pengundi bandar pasti tidak akan melupakan kerosakan ini dan memberi peluang bagi BN mendapat kepercayaan mereka,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya