PETALING JAYA: Pukulan kilas politik yang diterajui kepemimpinan UMNO bakal meletakkan parti itu di kedudukan paling kukuh dan kuat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, apa yang mustahak kini adalah seluruh saf sama ada di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan perlu terus memperkasakan parti di samping mencari jalan dan wadah kemenangan.
Katanya, keputusan signifikan di Dewan Rakyat baru-baru ini memberi indikasi jelas yang kepemimpinan kerajaan dan UMNO tidak gentar untuk memulakan ruang perubahan serta transformasi politik.
“Ini adalah terjemahan kematangan politik luar biasa UMNO yang merupakan nadi dan tradisi kekuatan kita berdekad lamanya.

“Tanpa sebarang keraguan, saya menganggap dinamik politik ini akan meletakkan saf kepimpinan UMNO sama ada di dalam parti mahupun kerajaan di landasan sama dan serupa,” katanya dalam hantaran di laman Facebook di sini hari ini.
Khamis lalu, sejarah tercipta apabila pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RUU berkenaan diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan seramai 209 ahli Parlimen yang hadir mengundi untuk menyokong, tiada yang menentang atau berkecuali, manakala 11 tidak hadir.
Reezal Merican berkata, tidak sewajarnya ada lagi denyut pandangan sumbang yang membangkitkan rasa marah dan syak wasangka dalam UMNO.
Katanya, apa sahaja keputusan baik yang mengukuh kepercayaan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti dijadikan azimat kekuatan.
“Seluruh kepimpinan UMNO wajar bersedia sebaiknya untuk PRU tanpa sekelumit ruang untuk kita berbeza pandang. Pada pandangan saya, palu genderang sebenar PRU15 sudah bermula, segala kekuatan UMNO yang ada mestilah dihalakan ke akar tujuan yang sama,” katanya. – UTUSAN









