(Dewan Rakyat) Ukuran pencapaian pelajar holistik, bukan setakat akademik

(Dewan Rakyat) Ukuran pencapaian pelajar holistik, bukan setakat akademik

Pencapaian pelajar diukur secara holistik dan bukan akademik semata-mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pencapaian pelajar perlu dilihat secara holistik dan bukan berdasarkan akademik menerusi peperiksaan semata-mata.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin berkata, ia melahirkan pelajar yang lebih kreatif dan berinovasi dalam jangka masa panjang susulan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga ( PT3) yang dibuat.

Jelasnya, kementerian telah mengambil langkah awal dengan memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) melibatkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Kejayaan dan kemenjadian murid haruslah dilihat secara holistik dan bukan semata-mata berdasarkan prestasi dalam bidang akademik sahaja. pentaksiran melalui PAJSK dan PPsi juga diperkukuh bagi menilai perkembangan murid dalam aspek sukan, kokurikulum, nilai murni, minat dan kecenderungan serta pembentukan sahsiah.

“KPM yakin bahawa pentaksiran yang bersifat holistik dan berterusan melalui PBS merupakan pendekatan terbaik bagi mengoptimumkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu,” katanya bagi menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Natrah Ismail (PH-Sekijang) meminta menteri menyatakan impak jangka masa panjang terhadap peperiksaan UPSR dan PT3 di sekolah rendah dan menengah.

Dalam hal ini, jelas Mohd Radzi, kementerian juga sedang mempergiat program latihan untuk pentadbir dan guru bagi meningkatkan kemahiran serta memantapkan pelaksanaan pentaksiran berterusan di sekolah.

“Guru juga akan terus dilatih untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran termasuk penggunaan teknologi digital,” ujarnya.

Tentang soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) susulan hanya 19 peratus pelajar tingkatan empat yang menyambung pelajaran dalam aliran sains, sementara 57 peratus pelajar lepasan SPM tidak menyambung pelajaran, Radzi berkata, pihaknya kini sedang mengambil langkah yang seiring supaya pelajar di negara ini tidak ketinggalan dalam keadan dunia sedang bersaing dalam aspek inovasi dan teknologi.

“Jika biarkan berlaku sedang dunia kini bersaing, kita akan terbelakang dalam konteks pembangunan inovasi dan teknologi  Jadi bila lihat pemansuhan ini, kita mahu murid di peringkat sekolah rendah dan menengah minat lebih kepada sains dengan semula jadi, nak buat eksplorasi dengan lebih mendalam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.