MELAKA: Usul penetapan kadar baharu minyak masak bagi kegunaan domestik dan eksport akan dibawa untuk perhatian Kabinet dalam mesyuarat akan datang.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, sebelum ini perbincangan berlangsung di antara pihaknya dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berhubung perkara itu, khusus demi mengurangkan tanggungan negara terhadap barangan keperluan harian berkenaan.
Jelas beliau, perbincangan menyentuh pelbagai perkara termasuk mengenai penetapan harga siling.
“Memang kita ada bincang, ada cadangan untuk buat two tiers (dua peringkat) iaitu minyak masak bagi domestik dan eksport. Walaupun kita dua pihak sudah bersetuju, namun, ini perlu Kabinet yang putuskan dan kita harap ia dapat dilaksanakan untuk meringankan beban negara.
“Kita dah ada (paras harga ditetapkan), tapi, secara perinciannya saya tak dapat nak dedahkan. Ada satu (harga) yang mana untuk dalam negara dan selebihnya untuk luar negara. Kita dah ada namun ia tak dapat diputuskan lagi.
“Jadi, kita harap ia dapat diselesaikan mungkin minggu depan atau dua minggu lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Ke-67 Kumpulan Kerja Kerjasama Harta Intelek ASEAN (AWGIPC) di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, kerajaan sedang mencari alternatif termasuk penetapan dua harga bagi kegunaan minyak masak domestik dan eksport.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan agihan subsidi minyak masak sampai kepada golongan sasar.
Sementara itu, mengulas berkenaan Mesyuarat Ke-67 AWGIPC yang berlangsung selama lima hari sehingga 26 Ogos, Rosol berkata, Malaysia menjadi tuan rumah untuk menyelaraskan kerjasama dalam bidang harta intelek di rantau ASEAN.
Jelasnya, bagi meningkatkan prestasi harta intelek negara, kerajaan telah menyediakan dana pemfailan sebanyak RM6.5 juta untuk meringankan beban usahawan kecil dalam membuat permohonan.
“Dana itu akan merangkumi yuran pemfailan paten, cap dagang dan hak cipta. Kita berharap dengan kemudahan ini, pengusaha-pengusaha tempatan mengambil peluang untuk mendaftar dengan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), sama ada secara terus di pusat mahupun dalam talian,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE