Tuah daratkan pari, menang RM25,000 - Utusan Malaysia

Tuah daratkan pari, menang RM25,000

AZREN Hussin (tengah), Mohd. Khairil Abdul Kadir (kiri) dan Salehuddin Mohd. Noor (kanan) di Pertandingan Memancing Ambang Merdeka 2022 di Pantai Tambak Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Itu perumpamaan sesuai untuk menggambarkan nasib Azren Hussin, 47, dari Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan selepas dinobatkan selaku juara Pertandingan Memancing Ambang Merdeka 2022 di Pantai Tambak Klebang, di sini.

Kejayaan menaikkan ikan pari seberat lebih enam kilogram (kg) membolehkannya memenangi hadiah wang tunai RM25,000, selepas menewaskan seramai 1,170 peserta yang mengambil bahagian.

Katanya, kejayaan itu adalah kali kedua dia muncul juara selepas pertandingan memancing di Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2011 yang membolehkannya memenangi RM10,000.

“Ini sudah rezeki saya dan wang kemenangan ini saya kongsi dengan tujuh rakan lagi yang turut menyertai pertandingan ini.

“Kelmarin saya menyertai pertandingan memancing di Telok Gong, Masjid Tanah tapi langsung tak menang apa. Mujurlah keputusan saya dan rakan menyertai pertandingan di Klebang membawa hasil yang lumayan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Pertandingan anjuran Wak Jali Event itu disokong Tourism Malaysia dan UMNO Bahagian Tangga Batu adalah kali pertama diadakan di pantai berkenaan yang menyaksikan sebanyak 590 ekor ikan pelbagai spesies dinaikkan peserta.

Tempat kedua dimenangi Mohd. Khairil Abdul Kadir, 31, dari Jitra, Kedah yang menaikkan ikan pari seberat 5.970kg dengan menerima RM6,000 manakala tempat ketiga menjadi milik Salehuddin Mohd. Noor, 57, dari Kuala Lumpur turut menaikkan ikan pari seberat 5.340kg dan menerima RM3,000.

Dalam pada itu, Mohd. Khairil berkata, dia menaiki bas dari Jitra semata-mata ingin menyertai dua pertandingan memancing iaitu di Telok Gong dan Pantai Tambak Klebang.

“Tak sia-sia usaha saya sanggup naik bas akhirnya ikan yang saya pancing menggunakan udang hidup membawa tuah, walaupun hanya di tempat kedua memenangi hadiah wang tunai RM6,000,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN