Tragedi gunung Inas: Penduduk Taman Mesra Ria dakwa tersisih

Tragedi Gunung Inas: Penduduk Taman Mesra Ria dakwa tersisih

gunung inas
ZAKARIA Abdul Aziz (kiri) bersama penduduk menunjukkan tebing Sungai Kupang yang semakin terhakis sehingga membimbangkan penghui Taman Mesra Ria, Kupang, Baling. – UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Penduduk Taman Mesra Ria, Kupang di sini merayu agar nasib mereka yang turut terkesan akibat tragedi kepala air dan banjir lumpur dari Gunung Inas pada 4 Julai lalu ter­bela dan diberi perhatian sewajarnya.

Ini kerana, dakwa penduduk di situ, Suraini Yahaya, 52, pemberian bantuan kepada mangsa banjir tidak diagihkan secara menyeluruh kerana masih ramai penduduk yang terjejas tidak mendapat hak mereka sebagai mangsa banjir.

“Saya kesal kerana tindakan beberapa agensi kerajaan yang tidak memberikan bantuan menyeluruh kepada mangsa banjir, masih ada lagi mangsa terutamanya penduduk di taman ini tidak mendapatnya seperti mangsa lain atas alasan nama kami tiada dalam senarai.

“Bantuan hanya diberikan kepada mangsa yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) dan yang mendaftarkan nama mereka pada malam kejadian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Suriani, kebanyakan penduduk di situ tidak berlin­dung di PPS ketika kejadian di­sebabkan keadaan terlalu padat.

“Saya kesal dengan keadaan ini yang menafikan hak kami sebagai mangsa banjir dan tidak memperolehi bantuan seperti mangsa lain, padahal kerugian yang kami tanggung hampir RM30,000 hingga RM50,000 mengikut setiap rumah,” katanya.

Marziana Bakar, 43, pula berkata, keadaan di perumah­an tersebut juga tidak selamat diduduki kerana tebing Sungai Kupang semakin terhakis de­ngan jarak hanya 2.5 meter sahaja daripada rumah penduduk.

“Sejak akhir-akhir ini, apabila hujan lebat, paras air sungai mudah naik kerana dasarnya semakin cetek dan air melimpah ke kawasan taman.

“Longkang-longkang dan sistem perparitannya juga turut mendatangkan masalah kepada penduduk setiap kali hujan kerana air longkang akan melimpah,” katanya.

Dia juga mengharapkan agar loji kumbahan di perumahan tersebut diselenggara kerana air kumbahan masuk ke dalam longkang dan mendatangkan bau busuk.

Sementara itu, pesara tentera, Zakaria Abdul Aziz, 43, berkata, pihak persatuan yang disertainya juga harus turun membantu ahli-ahli yang terkesan dengan tragedi tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya