Tiada pilih kasih bantu kerajaan negeri, rakyat Selangor  -

Tiada pilih kasih bantu kerajaan negeri, rakyat Selangor 

NOH Omar menyampaikan sijil kepada penerima ketika Majlis Graduasi Program Bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) 2022 sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Peruntukan RM6.3 bilion diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan dan projek tebatan banjir di Selangor membuktikan tiada istilah ‘pilih kasih’ untuk membantu rakyat negeri itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pelbagai bantuan sentiasa disalurkan kepada Kerajaan Selangor biarpun berbeza tampuk pemerintahan dan ideologi politik.

Katanya, isu banjir semestinya menjadi fokus utama yang membelenggu rakyat negeri ini sejak sekian lama.

Itu antara faktor Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukkan RM4.7 bilion bagi projek tebatan banjir dalam tempoh jangka masa panjang.

“Walaupun tidak berada dalam kerajaan yang sama, kita tetap terus mendahulukan keperluan dan kebajikan rakyat termasuk di negeri pembangkang,” katanya selepas merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) 2022, malam tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM6.3 bilion itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) terutama lima projek tebatan banjir bagi menjamin bencana itu tidak berulang di Selangor.\

Selain itu, kerajaan turut mengambil langkah proaktif merencana pendekatan baharu termasuk pembinaan infrastruktur termasuk menyediakan perumahan Keluarga Malaysia kepada golongan B40 dan M40.

Jelas Noh, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini turut mencadangkan pembinaan Canal City bagi mengatasi isu banjir berkenaan.

“Cadangan itu bagaimanapun ditolak oleh kerajaan pembangkang sekali gus tidak dapat dilaksanakan. Namun, kita masih tetap menyalurkan bantuan dan peruntukan kepada kerajaan negeri kerana memikirkan nasib dihadapi rakyat.

“Keprihatinan itu turut dibuktikan apabila projek Air Langat 2 yang diusahakan kerajaan diserahkan sepenuhnya kepada Selangor untuk diuruskan sehingga kini,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN