TFI: Apa hasil siasatan Jakim, JPV? - Utusan Malaysia

TFI: Apa hasil siasatan Jakim, JPV?

Apa hasil siasatan Jakim, JPV di rumah sembelihan TFI di Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas lebih bulan isu ketidakpatuhan halal di Thomas Food Industries (TFI) didedahkan, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih tidak melakukan pemeriksaan audit di rumah sembelihan berkenaan.

Malah, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan halal yang bertanggungjawab ke atas rumah sembelihan di Lobethal Australia belum dikenakan apa-apa hukuman atas kegagalan membuat pemantauan sewajarnya.

Pengakuan terbuka bekas pekerja di situ sebelum ini yang dikenali sebagai ‘The Hooded Man’ atau Abdullah yang mendedahkan bagaimana haiwan mati lemas dalam takungan darah sebelum disembelih seolah-olah tidak ada pembelaan hanya kerana menganggap ia rekaan semata-mata.

Bagaimanapun, isu berkenaan kembali membuka episod baharu apabila seorang lagi bekas penyem­belih di TFI tampil membuat pengakuan serupa.

TANGKAP layar akuan bersumpah SD yang dibuat Ahmad bagi membuktikan segala dakwaan ketidakpatuhan halal
TFI benar berlaku.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, lelaki yang mahu dikenali sebagai Ahmad dan memberitahu dia tidak mengenali Abdullah kerana dia meninggalkan syarikat itu lebih awal sebelum Abdullah bekerja di situ.

Menurut Ahmad, sepanjang bekerja antara April hingga Oktober 2020, ‘kegiatan’ melemaskan haiwan dalam darah sebelum di­sembelih disaksikan sejak hari pertama dia bekerja.

“Setiap hari kira-kira 6,000 haiwan biri-biri disembelih dan setiap hari saya lihat haiwan jatuh dan mati dalam takungan darah.

“Haiwan-haiwan itu kemudian disahkan halal walaupun nyata ia bangkai,” katanya di sini baru-baru ini.

Berkali-kali

Ahmad berkata, walaupun sudah dibangkitkan berkali-kali kepada dua wakil SICHMA di lapangan yang bersilih ganti, namun tiada tindakan.

Pengurus jaminan kualiti di TFI juga seolah-olah memejamkan mata.

Lebih mendukacitakan, petugas penyembelih ‘dipaksa’ menandatangani dokumen ‘load out’ (pengesahan produk halal di tapak operasi) untuk tiga minggu lebih awal selain diarahkan menandatangani borang kosong walaupun tidak tahu butiran yang bakal ditulis.

Ia sekali gus merupakan satu bentuk penganiayaan terhadap pekerja, kata Ahmad.

“Saya juga tidak dibenarkan menajamkan pisau kerana dianggap pembaziran masa jika berbuat demikian walaupun ia keperluan wajib penyembelihan halal.

“Atas sebab-sebab itu, saya meninggalkan syarikat terbabit kerana ia 100 peratus tidak halal,” katanya yang sudah 10 tahun bekerja sebagai penyembelih halal di negara berkenaan.

Membuktikan segala dakwaan adalah benar tanpa prejudis, Ahmad membuat satu pernyataan bersumpah di bawah Akta Akuan Berkanun 1959 pada 7 Ogos lalu di Victoria.

Melalui akta tersebut, sekiranya membuat akuan palsu, mana-mana pihak boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 11 sebagai satu kesalahan jenayah.

Jakim pada 8 Ogos lalu memberitahu, pihaknya masih lagi menunggu laporan audit daripada JPV melibatkan rumah sembelihan di Australia dan belum menerima laporan daripada agensi berkenaan untuk dibuat tindakan susulan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN