SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang dibuka mulai semalam menerima sambutan luar biasa para pengunjung.
Rata-rata mereka berasa teruja selepas lebih empat tahun tidak menjejakkan kaki ke pameran dwi tahunan itu ekoran pandemik Covid-19.
Walaupun hujan pada awal pagi dan kenderaan banyak sepanjang laluan ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), ia tidak mematahkan semangat mereka untuk mengunjungi reruai dan ruang pameran.
Pekerja swasta, Nizam Hussin, 44, berkata, dia sanggup keluar seawal pukul 7 pagi bersama isteri dan mentua.
“Nasihat saya datang awal sebab jumlah kenderaan semakin meningkat dan lebih banyak masa boleh diluangkan untuk melihat pameran yang ada,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhamad Sayyid Elias, 23, berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya ke MAHA 2022.
“Saya tak sabar mahu melihat inovasi berasaskan pertanian, mungkin ada teknologi baharu yang boleh dipelajari,” ujarnya.
Kakitangan kerajaan, Siti Fatimah Mohd Arifi, 28, pula berkata, MAHA 2022 bukan sahaja menawarkan produk pada harga istimewa, malah menyediakan pelbagai informasi yang diperlukan para pengunjung.
“Ini kali pertama saya hadir ke MAHA, memang sangat seronok sebab ada pelbagai gerai jualan serta hadiah percuma buat para pengunjung,” katanya.
MAHA 2022 yang berlangsung sehingga 14 Ogos ini menempatkan 1,500 gerai pameran dengan jangkaan kira-kira 100,000 pengunjung setiap hari. – UTUSAN