Tempoh 14 hari tentukan kedudukan Najib

Tempoh 14 hari tentukan kedudukan Najib

AZHAR AZIZAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan secara automatik sekiranya tiada sebarang prosedur mahkamah lain atau pengampunan diraja diterima dalam tempoh 14 hari bermula semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, Parlimen kini sedang menunggu notis rasmi daripada Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan mengenai hukuman yang dijatuhkan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Azhar Azizan berkata, seseorang individu akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 ribu ringgit serta individu itu tidak mendapat pengampunan bebas.

“Perkara itu termaktub dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan. Sekarang, tiada lagi rayuan kerana hukuman diputuskan di Mahkamah Persekutuan, namun, Perkara 48(4)(b) juga ada sebut jika ada prosiding lain, kedudukannya kekal sehingga prosiding itu selesai.

“Saya juga perlu meneliti sama ada prosiding itu termasuk semakan, kerana proses semakan ini ada dalam tatacara mahkamah. Jika termasuk dan dia (Najib) memfailkan semakan itu dalam masa 14 hari, maka kedudukannya kekal sehingga prosiding semakan selesai.

“Perkara 48 juga menyatakan jika dalam masa 14 hari terdapat permohonan untuk pengampunan diraja dibuat, maka kedudukannya (Najib) kekal sehingga proses pengampunan selesai. Untuk notis rasmi daripada Mahkamah Persekutuan biasa diterima secepat mungkin,”katanya ketika dihubungi semalam.

Mengenai bila pengesahan kekosongan kerusi Parlimen Pekan akan dibuat, Azhar Azizan berkata, beliau akan membuat pemakluman itu jika Najib tidak memfailkan semakan, prosiding lain atau permohonan pengampunan dalam tempoh 14 hari.

“Jadi, kena tunggu dalam masa 14 hari, bermula hari ini (semalam). Jika semua yang diperuntukkan dalam Perlembagaan tidak dilaksanakan, barulah saya akan membuat keputusan,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN