Tanah Perkuburan Malaysia di Mesir kini 28 liang lahad - Utusan Malaysia

Tanah Perkuburan Malaysia di Mesir kini 28 liang lahad

SUASANA Tanah Perkuburan Malaysia di Toriq Bilbis, Zawamil, Syarqiyyah yang berjaya dibeli pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah. - GAMBAR ihsan Wisma Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Terkesan dengan peningkatan kos pengebumian di Mesir, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah mengambil inisiatif membeli dua lot tanah perkuburan lagi di ibu negara itu.

Menurut hantaran pejabat misi diplomatik tersebut menerusi laman sosial rasminya, lot itu terletak di Toriq Bilbis, Zawamil, Syarqiyyah kira-kira 70 kilometer dari pusat bandar Kaherah.

“Kedua-dua lot ini iaitu No.180 dan No.181 dapat memuatkan sejumlah 28 liang lahad,” kata kedutaan tersebut yang memetik kenyataan Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail.

Urusan pengebumian di negara itu dibebani dengan kos amat tinggi yang perlu ditanggung waris sehingga jauh lebih mahal daripada harga seunit apartmen di ibu kota Mesir tersebut.

Berdasarkan laporan dari media tempatan, harga petak kubur baharu yang cuma berkeluasan 25 meter persegi ketika ini telah pun mencecah 55,000 pound Mesir (kira-kira RM12,800).

 Harga itu hanya untuk terma pembayaran secara tunai, manakala jika dibuat mengikut pelan ansuran selama 18 bulan pula, waris dikenakan caj 10,000 pound (kira-kira RM2,328) lagi.

Bagaimanapun, kos tersebut bergantung kepada lokasi dengan jika agak berdekatan Kaherah seperti Fatimid, harga satu liang boleh menjangkau 500,000 pound (kira-kira RM116,420).

Mengulas lanjut, Kedutaan Besar Malaysia menambah sudah berjaya menyerahkan baki pembayaran terakhir untuk pembelian dua lot berkenaan pada 8 Ogos lalu.

“Sebelum ini, kita membuat dua kali pembayaran iaitu pada 2 Februari dan 21 Julai lalu. 

Kejayaan ini dapat menyelesaikan urusan pengebumian untuk warganegara kita,” jelasnya.

Difahamkan, setakat ini, sudah dua jenazah rakyat Malaysia disemadikan di tanah perkuburan tersebut iaitu kali pertama yang melibatkan Husna Solehah Mohd. Salleh pada 23 April lalu.

Pelajar tahun ketiga jurusan pergigian Universiti Alexandria di Iskandariah itu meninggal dunia akibat penyakit Tuberkulosis ketika mendapatkan rawatan batuk kering di sebuah hospital.

Yang terbaharu membabitkan jenazah pelajar tahun akhir, Muhammad Firdaus Ab. Rais yang mati lemas ketika mandi sungai di Qanathir Khairiyah pada Jumaat minggu lepas.

Penuntut pengajian bidang syariah di Universiti Al-Azhar tersebut selamat dikebumikan pada Ahad lalu di kawasan kubur berkenaan dengan kedua-dua mereka itu berasal dari Kelantan.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk individu dan syarikat tertentu yang memberi sumbangan dan kerjasama bagi pembelian lot tersebut.

“Syukur Alhamdulillah kerana genap setahun saya berada di Mesir sebagai duta, kita berjaya membeli dan menyelesaikan pembayaran Tanah Perkuburan Malaysia,” kata Zamani.

Beliau juga merakamkan penghargaan kerana secara kebetulan pada 8 Ogos itu, kesemua 32 persatuan pelajar Malaysia di Mesir telah berdaftar dengan pihak Education Malaysia Egypt.

Badan terakhir iaitu Keluarga Pelajar Kelantan Mesir bersetuju untuk mendaftar secara rasmi sehari sebelum tarikh itu sekali gus menamatkan penantian pihak kedutaan sejak sekian lama. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.