Tanah kubur Islam Forest Height mendap, berlumpur - Utusan Malaysia

Tanah kubur Islam Forest Height mendap, berlumpur

TANAH Perkuburan Islam Forest Height, Senawang di Seremban yang didakwa mendap dan berlumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Waris dan ahli keluarga mereka yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang di sini melahirkan kekesalan apabila kawasan tanah di situ mendap dan berlumpur sejak lima tahun lalu.

Sebuah video yang dikongsikan pemilik akaun TikTok @fatinanasuhaa turut tular dalam media sosial semalam selepas dia kecewa berhubung perkara itu yang masih tiada tindakan lanjut oleh pihak berkaitan.

Pemilik akaun TikTok berkenaan, Fatin Anasuha Haim, 29, berkata, arwah bapanya disemadikan di tanah perkuburan tersebut pada 2011 dan keadaan tanah mendap serta berlumpur itu semakin teruk sejak 2016.

“Selepas 2016 tanah di perkuburan menjadi lembik dan tidak berjaga langsung, ada selut tidak tahu nak buat macam mana. Kalau nak berjalan perlu berhati-hati risau terjatuh.

“Banyak kubur di bahagian bawah (tanah perkuburan) ditenggelami air. Sebelum ini saya telah memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan kubur tetapi tiada tindakan sebelum diadukan pula kepada pihak PBT tiga bulan lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fatin Anasuha berkata, dia buntu memandangkan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Seremban (MBS) tidak memberi maklum balas dan perkara itu telah berlarutan selama lima tahun.

“Apabila video ini viral (tular) di TikTok rupanya ramai waris turut menyuarakan perkara sama kerana tidak dapat menziarah kubur keluarga mereka.

“Saya hanya dapat melihat dari jauh di kawasan jalan tar kerana bahaya untuk masuk ke tanah kubur itu kerana selut berlumpur dan boleh terjatuh,” katanya.

Jelas Fatin Anasuha, kawasan tanah perkuburan itu pernah tular pada September tahun lalu selepas didakwa dipenuhi cecair berwarna merah seperti darah mengalir di celah-celah kubur .

“Kawasan ini memang ada punca mata air yang mungkin menyebabkan ia lembap berlumpur. Sebelum ini, ada waris yang cuba tambak sendiri dengan batu, namun keadaan masih tidak berubah,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya