BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri antara gelandangan yang ditemukan berteduh di bawah jejambat di Jalan Bagan Dalam, di sini hari ini.
Mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd., 26, dan isterinya, Siti, 23, yang baru mendirikan rumah tangga tidak sampai setahun tinggal di kawasan terbabit sejak beberapa bulan lalu selepas gagal membayar sewa rumah.
“Kami tidak mahu menyusahkan keluarga masing-masing kerana mereka juga ada masalah sendiri, tambahan pula ibu saya yang tinggal bersama abang menghidap penyakit dalam perut.
“Kadangkala kami berulang alik antara jejambat ini dan Jalan Bagan Luar kerana di situ ramai yang membantu menghulurkan bantuan makanan.
“Dahulu saya pernah bekerja sebagai pengasuh, tetapi kini sukar untuk mencari kerja bersesuaian kerana kami tiada kenderaan,” katanya.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu antara 300 penerima bantuan makanan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) The Ascott Merdeka yang menyantuni gelandangan dan golongan kurang berkemampuan.
Pengurus Residensi Sky Residence by The Ascott, Lee Boon Kae, berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM1,000 setiap bulan untuk menyantuni gelandangan di negeri ini.
“Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik apatah lagi selepas kita dilanda pandemik Covid-19 lebih dua tahun lalu.
“Selain menyantuni gelandangan, kita turut menziarahi pusat jagaan warga emas dan anak-anak yatim,” katanya. –UTUSAN ONLINE