SPRM perlu kuasa buat pertuduhan sendiri - Utusan Malaysia

SPRM perlu kuasa buat pertuduhan sendiri

Mior Nor Haidir Suhaimi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi kuasa membuat pendakwaan sendiri terhadap kes yang disiasat tanpa perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Langkah ini sekali gus dapat memastikan segala kes rasuah dapat dituduh secara terus menerusi siasatan terperinci SPRM dan mengelak kes tertangguh lama kerana gagal mendapat keizinan untuk proses pendakwaan daripada AGC akibat alasan-alasan tertentu.

Cadangan ini sudah lama dibangkitkan dan perkembangan terbaharu dalam negara melibatkan kes-kes berprofil tinggi menguatkan lagi keperluan pelaksanaannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mior Nor Haidir Suhaimi, sudah tiba masanya untuk SPRM diletakkan di bawah kuasa Parlimen dan bukan lagi bergantung kepada kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Perkara ini sebenarnya sudah lama dibangkitkan oleh masyarakat dan saya berpandangan ia berpunca daripada kuasa terhad dimiliki SPRM itu sendiri yang hanya boleh melakukan siasatan dan kemudian mencadang pertuduhan kepada AGC.

“SPRM seharusnya di perkukuh dengan kuasa yang lebih besar. Jika berada di bawah kuasa Parlimen, SPRM boleh mendapat mandat secara terus dan laporkan perkembangan kes yang besar kepada Parlimen dan boleh buat pendakwaan sendiri.

“Bagaimanapun, untuk merealisasikannya memerlukan pindaan dalam Perlembagaan dan untuk pindaan itu, ia isu besar. Sekarang memang kita lihat kuasa SPRM itu agak terhad kerana perlu memohon kebenaran daripada AGC untuk buat pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai faktor yang mempengaruhi kelewatan dalam siasatan sesuatu kes rasuah terutama siasatan kes berprofil tinggi, sekali gus menyukarkan dituduh di mahkamah.

Semalam, Utusan Malaysia mendedahkan, banyak keadaan menyebabkan kes tidak mendapat keizinan untuk proses pendakwaan dibuat antaranya disebabkan keterangan yang belum mencukupi selain ada kertas siasatan yang disyorkan kepada AGC tidak lengkap dan perlukan siasatan tambahan.

Mior Nor Haidir mendakwa, kelewatan siasatan sesuatu kes rasuah juga berpunca daripada bahagian siasatan SPRM yang mungkin kekurangan pengalaman dan tidak seperti pihak berkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Banyak rungutan dalam kalangan masyarakat yang kononnya bahagian penyiasatan SPRM tidak seperti siasatan polis. Mereka mungkin tidak berpengalaman dan tidak sama dengan pihak berkuasa lain. Itu kita kena lihat, sekiranya benar kena ada penambahbaikan.

“Kita ambil kes besar dahulu membabitkan Air Sabah, ada serbuan dan rampasan beratus juta ringgit dan apabila didakwa hanya tinggal berapa juta sahaja. Dalam kes itu, hanya didakwa dan ke mana hilangnya wang rampasan. Itu menjadi persoalan ramai,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN