Separuh akhir Piala FA: 400 polis kawal Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin - Utusan Malaysia

Separuh akhir Piala FA: 400 polis kawal Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

SERAMAI 30,000 penyokong TFC dan Selangor akan memenuhi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA antara kedua-dua pasukan itu, malam esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 400 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus dekat sini bagi memastikan kelancaran aksi separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dan Selangor, malam esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata, tahap keselamatan di dalam dan luar stadium akan ditingkatkan selain pemantauan di setiap pintu masuk.

Menurut beliau, penonton tidak dibenarkan membawa barang terlarang seperti mercun, suar, topi keledar, pemetik api, pemancar laser dan objek tajam ketika berada di pekarangan atau dalam stadium.

“Pihak polis juga ingin menasihatkan para penonton agar tidak menimbulkan sebarang kekacauan dan kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

“Tindakan undang-undang akan diambil kepada mereka yang ditangkap jika membuat perhimpunan, perarakan atau provokasi berbentuk sindiran dan hinaan yang boleh mencetuskan pergaduhan.

“Selain itu, anggota trafik juga akan ditempatkan bagi mengawal aliran dan mengelak kesesakan lalu lintas pada hari perlawanan,” jelasnya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh, berkata, seramai 30,000 penonton dijangka membanjiri stadium termasuk 1,500 penyokong The Red Giant.

Menurutnya, sebanyak 16,500 keping tiket berharga RM20 habis terjual menerusi dalam talian sejak mula dipasarkan, 30 Julai lalu manakala 13,500 keping tiket lagi akan dijual secara fizikal pada hari perlawanan.

“Bilangan petugas tiket di setiap pintu masuk akan ditambah bagi keselesaan dan melancarkan pergerakan masuk penonton. Selain itu, mereka dinasihatkan datang lebih awal,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya