Sembilan lagi tukun tiruan dilabuhkan di perairan Port Dickson - Utusan Malaysia

Sembilan lagi tukun tiruan dilabuhkan di perairan Port Dickson

SEMBILAN unit tukun tiruan dilabuhkan di kawasan perairan Tanjung Tuan, Port Dickson hari ini yang bertujuan menambah kepadatan dan meningkatkan stok sumber marin.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak sembilan lagi unit tukun tiruan dilabuhkan di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini menjadikan keseluruhan sebanyak 96 tukun jenis rekreasi dan konservasi dilabuhkan sejak tahun 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, sebanyak RM1.45 juta dibelanjakan untuk membina dan melabuhkan semua tukun berkenaan yang bertujuan memastikan sumber perikanan di Negeri Sembilan kekal mapan.

BAKRI Sawir (kiri) dan Wan Muhammad Aznan dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Labuh Tukun Tiruan Kuboid Karang (Konservasi) di Perairan Tanjung Tuan Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

“Sejak tahun 2008 sehingga kini, sudah lima kali tukun tiruan dilabuhkan di perairan Negeri Sembilan di beberapa lokasi strategik untuk pembiakan ikan.

“Kerajaan negeri mengucapkan tahniah terhadap usaha Jabatan Perikanan ini dan berharap ia akan diteruskan dengan menambah lebih banyak tukun tiruan ini di perairan Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Labuh Tukun Tiruan Kuboid Karang (Konservasi) di Perairan Tanjung Tuan di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, sembilan unit tukun tiruan yang dilabuhkan di perairan Tanjung Tuan di sini hari ini adalah melibatkan kos sebanyak RM300,000 menggunakan peruntukan yang disalurkan dari kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, tukun berkenaan berukuran 1.8 meter panjang dan 1.8 meter lebar serta berketinggian 2.7 meter dengan seberat enam tan setiap unit.

“Memang sejak kita mula melabuhkan tukun tiruan di perairan Port Dickson, terdapat peningkatan dalam jumlah pendaratan ikan, iaitu 200 metrik tan kepada 400 metrik tan setahun. 

“Jumlah pendaratan ikan di Negeri Sembilan ini kuantitinya sedikit tetapi ia bernilai tinggi. Ini kerana tangkapan ikan di sini adalah seperti ikan kerapu, jenahak, bawal, merah dan pari.

“Tukun tiruan yang dilabuhkan hari ini juga bertujuan untuk menyedia dan mewujudkan kawasan baharu untuk pertumbuhan terumbu karang apatah lagi kawasan Tanjung Tuan ini merupakan satu-satunya kawasan tepian tanah besar Semenanjung di Pantai Barat yang mempunyai terumbu karang yang cantik,” katannya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.