Semak, lalang di Kota Lukut dibersihkan - Utusan Malaysia

Semak, lalang di Kota Lukut dibersihkan

KERJA-kerja memotong rumput giat dijalankan di tapak Kota Lukut di Port Dickson hari ini selepas ia dilaporkan berada dalam keadaan terbiar dan tidak berjaga-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Selepas laporan Utusan Malaysia mengenai keadaan lokasi bersejarah, Kota Lukut di Port Dickson yang berada dalam keadaan terbiar, dipenuhi semak dan lalang, hari ini kerja-kerja pembersihan telah dijalankan di lokasi tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mohd. Esa berkata, kerja pembersihan termasuk memotong rumput itu merupakan langkah serta merta dan segera yang diambil oleh pihaknya hasil laporan berkenaan selain aduan yang diterima daripada orang ramai.

Jelas beliau, beberapa pihak dan agensi telah terlibat dalam kerja-kerja pembersihan tersebut yang bertujuan memastikan lokasi Kota Lukut kembali berada dalam keadaan terjaga.

“Ini langkah segera yang kami lakukan, tugas tanggungjawab sosial ini melibatkan pihak MPPD, syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut dan masyarakat sekitar.

KONTRAKTOR

“Lokasi Kota Lukut ini di bawah pengurusan Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson bagi tujuan penyelenggaraan dan pembersihan. Bagaimanapun sebelum ini terdapat masalah berkaitan pelantikan kontraktor menyebabkan lokasi ini berada dalam keadaan tidak berjaga dan terbiar.

“Isu berkenaan juga sudah diselesaikan dan dijangka pada bulan hadapan, kontraktor akan masuk ke tapak dan menjalankan tugas tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan salah satu produk pelancongan di daerah ini iaitu Kota Lukut berada dalam keadaan terbiar dan dipenuhi semak serta lalang.

Lebih menyedihkan, kota yang didaftarkan sebagai wa­risan di bawah Akta Warisan Kebangsaan (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara pada 2006 kini menjadi sarang kaki botol, malah, difahamkan turut menjadi lokasi maksiat pasangan kekasih.

Tinjauan ke Kota Lukut yang dibina oleh Raja Jumaat Raja Jaafar pada tahun 1847 itu mendapati keadaan sekitarnya terabai dengan rumput-rumput kering dan dahan pokok mati dibiarkan tanpa dibersihkan.

Tinggalan sejarahnya seperti runtuhan tapak istana Raja Wok, tinggalan tembok susunan batu, kolah air dan perigi raja juga tidak terjaga dan ditutupi dengan rumput dan lalang yang tumbuh meliar.

Sementara itu, jelas Zamri, pihaknya tentu melihat Kota dan Muzium Lukut mempunyai potensi cukup besar sebagai daya tarikan untuk dikunjungi pengunjung ke daerah ini yang turut popular dengan pantai-pantai peranginan yang indah.

“Sudah tentu kami mahu Kota dan Muzium Lukut ini menjadi lokasi persinggahan pelancong kerana Port Dickson tidak hanya tertumpu kepada pantai-pantainya sahaja,” kata beliau lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN