SEREMBAN: Golongan artis dan selebriti tanah air dipelawa untuk bersama pihak polis dalam membantu memberikan kesedaran kepada orang ramai berhubung jenayah penipuan wang ataupun scammer.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, golongan tersebut mempunyai pengikut yang ramai, justeru, mereka juga mudah untuk mendekati orang ramai berdasarkan populariti yang dimiliki mereka.
“Selebriti tanah air termasuk pempengaruh dalam media sosial, mereka boleh gunakan akaun media sosial masing-masing untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung taktik penipuan sindiket scammer ini,” katanya ketika menghadiri program Kempen Anti Scam-PDRM 2022 (Awie Ride) di sini semalam.
Program jelajah kempen kesedaran berkenaan sudah melalui semua negeri di Semenanjung dan Seremban merupakan destinasi terakhir kempen tersebut.
Sementara itu, penyanyi, Datuk Ahmad Azhar Othman ataupun Datuk Awie berkata, beliau secara peribadi juga mengisytiharkan ‘perang’ dengan sindiket scammer selepas beliau sendiri pernah dimaki ahli sindiket berkenaan.
“Ada satu hari, saya dapat panggilan daripada scammer, kemudian saya beritahu supaya dia cari orang lain kalau mahu menipu, kemudian saya mematikan panggilan tersebut.
“Selepas itu dia menghubungi saya bertalu-talu, dia marah dan maki saya. Sejak itu, saya menyimpan dendam dan isytihar perang terhadap scammer,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE