Saya tak gopoh, akan teliti semua pandangan - Sultan Johor

Saya tak gopoh, akan teliti semua pandangan – Sultan Johor

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegaskan bahawa baginda tidak akan gopoh dalam membuat keputusan tentang cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hujung minggu daripada Jumaat-Sabtu menjadi Sabtu-Ahad.

Baginda bertitah, perkara itu akan diteliti dari setiap sudut baik buruknya selain mengambil kira serta memperhalusi pandangan semua pihak.

“Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Cadangan kerajaan itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya, dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan. 

“Buat masa ini saya mahu kerajaan memberi tumpuan terhadap pembangunan ekonomi negeri Johor serta kepentingan rakyat. 

“Kerajaan negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Pada 10 Ogos lalu, kerajaan negeri membentangkan hasil dapatan tentang penyelarasan hari cuti hujung minggu negeri ini kepada Sultan Johor.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembentangan hasil dapatan kepada Sultan Ibrahim bertujuan untuk mendapatkan pertimbangan baginda dalam perkara berkenaan.

Justeru, Sultan Ibrahim bertitah supaya semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau membuat gesaan agar satu keputusan diumumkan secepat mungkin.

“Saya akan buat pengumuman apabila saya berpuas hati dan cukup yakin keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik untuk negeri Johor,” titah baginda.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan agama Islam sebagai agama negeri Johor.

Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan dalam negeri Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Negeri Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN