DUNGUN: Gerak hati suami isteri menyuruh anak mereka yang berusia lapan tahun ke sekolah walaupun mengadu selesema dan batuk mungkin ada hikmah apabila kediaman tersebut hangus dalam kebakaran di Kampung Batu Putih, Pulau Serai di sini hari ini.
Wan Samsul Baharin Wan Endot, 51, berkata, anaknya, Wan Maizatul Farisya, 8, pada awalnya enggan ke sekolah kerana kurang sihat tetapi isterinya iaitu Azlina Majid, 47, memujuk anak mereka ke sekolah.
“Mujurlah saya dan isteri paksa juga Maizatul ke sekolah. Kalau tak, kami tak tahu apa jadi pada anak bongsu kami yang mungkin masih tidur semasa kebakaran,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Putih, Pulau Serai, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.40 pagi, Wan Samsul Bahrin dan isteri serta lima anaknya selamat berikutan masing-masing keluar bekerja dan ke sekolah.
Wan Samsul Bahrin yang bekerja sebagai buruh berkata, ketika kejadian dia ke bandar kira-kira 10 kilometer dari rumahnya dan mengetahui rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu terbakar selepas dihubungi jiran.
“Saya baru sahaja tinggalkan rumah kira-kira pukul 8.15 pagi, tak sampai setengah jam selepas itu, jiran telefon memaklumkan ternampak api marak di bahagian dapur rumah.
“Bila saya tiba di rumah, memang sedih tengok rumah hanya tinggal rangka dan asap. Semuanya hangus termasuk pakaian dan barang berharga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata, seramai 15 orang anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 8.56 pagi.
“Kita tiba, api sedang marak dan kita mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran tersebut. Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.- UTUSAN