Rimba Teloi: Sanusi kata bukit gondol gambar lama 

Rimba Teloi: Sanusi kata bukit gondol yang dirakam 24 Julai 2022 gambar lama 

GAMBAR bertarikh 24 Julai 2022 yang dirakamkan jurugambar Utusan Malaysia pada pukul 11.57 pagi ketika melakukan pemantauan di HSK Rimba Teloi yang berisiko menjadi ancaman kepala air di Sik, Kedah. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: “Pokok-pokok dah tumbuhlah. Pokok tutup bumi, bukanlah gondol macam gambaran di Utusan (Malaysia) itu kan? Utusan itu gambar lama. Cucilah gambar baru, la ni (sekarang) bukan kena cuci dah, pakai digital.”

Demikian reaksi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika diajukan soalan berkaitan risiko projek tanaman Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi di Sik, dekat sini seperti dilaporkan di muka hadapan akhbar ini, minggu lalu.

Beliau mendakwa, terdapat gambar yang lebih baharu bagi menggambarkan keadaan terkini di kawasan HSK Rimba Teloi itu  diperoleh melalui jawatan kuasa yang ditubuhkan untuk mengkaji risiko projek berkenaan.

Untuk rekod, gambar muka hadapan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 27 Julai lalu bagi berita bertajuk ‘Ancaman Rimba Teloi’ itu dirakamkan dari udara pada pukul 11.57 pagi, 24 Julai lalu iaitu tiga hari sebelum tarikh siaran dan kurang dua minggu dari hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, laporan jawatan kuasa yang ditelitinya juga menyatakan terdapat kemungkinan kawasan penempatan berhampiran berisiko, namun beliau mengharapkan ia tidak menjadi tragedi seperti di Gunung Inas.

“Di Sik (Rimba Teloi) itu dia punya muka bumi tak tinggi macam Gunung Inas. Ia kawasan berbukit juga tapi tak tinggi sangat. Jarak dengan kampung terdekat lebih dua kilometer daripada kawasan tanaman itu (Musang King).

“Saya baca laporan jawatan kuasa yang ditubuhkan di Sik itu. Mungkin ada risiko, tapi kita harap tak ada lah. Kalau Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) oleh pihak-pihak yang ada kepakaran (menyatakan) ada risiko besar, mungkin tidak dibenarkan. Tapi depa (mereka) dah tanamkan, ada EIA boleh tanamlah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi merasmikan majlis pecah tanah tapak rumah ganti untuk mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur Kampung Iboi di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Kampung Sadek, Kupang di sini.

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia 27 Julai 2022.

Pada Rabu lalu, akhbar ini melaporkan, HSK Rimba Teloi yang turut diteroka untuk diusahakan sebagai ladang hutan dan kini dimajukan dengan tanaman durian Musang King berisiko mengu­langi episod sedih tragedi ke­pala air dan banjir lumpur di Gunung Inas pada 4 Julai lalu.

Berdasarkan tinjauan di kawasan terbabit, sekurang-kurangnya empat kolam takungan dipercayai untuk kegunaan projek tanaman tersebut berada di atas puncak bukit berkenaan melibatkan kompartment 66 dan 67 yang berkeluasan kira-kira 200 hektar.

Daripada pemerhatian juga, bahagian lereng bukit sudah ditarah menjadi teres yang dipercayai bagi penanaman durian Mu­sang King, sekali gus me­nim­bulkan persoalan sama ada ia mematuhi syarat 25 darjah ce­run yang digariskan dalam La­­poran Penilaian EIA.

Aktiviti semaian anak-anak pokok durian berkualiti tinggi itu juga dilihat sedang dilakukan oleh pekerja-pekerja ladang terbabit berhampiran kawasan tanaman.

Sementara itu, Muhammad Sanusi ketika ditanya sama ada projek tanaman Musang King di HSK Rimba Teloi boleh diteruskan hanya menjawab ‘ya’ tanpa membuat ulasan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya