Rider serah memo, tak puas hati kadar upah - Utusan Malaysia

Rider serah memo, tak puas hati kadar upah

Sebahagian penghantar makanan di Ipoh mengadakan bantahan berhubung pemotongan kadar upah perjalanan oleh Grab Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 30 penghantar makanan menyertai konvoi ke ibu pejabat Grab Malaysia di sini bagi menyerahkan tuntutan memorandum tentang ketidakpuashatian terhadap syarikat tersebut yang bertindak mengurangkan kadar upah perjalanan mereka.

Memorandum yang diserahkan oleh wakil penghantar makan tersebut turut mengandungi tuntutan mereka supaya syarikat tersebut menjaga hal kebajikan penghantar makanan.

Penyerahan memorandum tersebut selesai diberikan kepada wakil Grab Malaysia oleh wakil kumpulan penghantar makanan tersebut pada 5.40 petang semalam.

Wakil daripada kumpulan penghantar makanan tersebut, Mohd. Firdaus Abdul Hamid, 30, berkata, mereka menuntut lima perkara daripada pihak syarikat melalui penyerahan memorandum itu.

“Antara tuntutannya adalah menilai dan menambah semula kadar bayaran tambang dinaikkan, mengembalikan sistem diamond (sistem yang dimansuhkan) supaya pendapatan kami tidak terjejas seperti ini.

“Kami juga ingin pihak grab memansuhkan sistem berjadual. Selain itu, membenarkan penunggang membatalkan pesanan tanpa denda pembatalan dan akhir sekali menghapuskan sistem tunai,” katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Terdahulu Grab Malaysia (Grab) menafikan dakwaan kumpulan penghantar makanan yang mengatakan syarikat tersebut mengurangkan upah perjalanan mereka malah ia hanya menyebabkan kes terpencil.

Grab memaklumkan isu itu timbul disebabkan salah faham dalam kalangan rakan penghantar mereka dan sudah pun diperjelaskan oleh syarikat dan penghantar makanan terlibat.

“Kebimbangan baru-baru ini yang ditimbulkan oleh rakan kongsi penghantaran adalah disebabkan oleh gangguan dalam sistem kami, di mana dia mendapati terdapat percanggahan dalam pendapatannya.

“Kami telah membetulkan isu itu, dan telah memindahkan baki itu kepada semua rakan kongsi yang terjejas, dan menjelaskannya melalui saluran komunikasi rasmi kami pada 21 Julai,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, keengganan sebahagian penghantar makanan untuk turut serta dalam protes untuk mogok semalam adalah kerana komitmen sedia ada dan ‘periuk nasi’ yang perlu dijaga.

Sementara itu di Ipoh, Perak kerajaan digesa campur tangan menyelesaikan kemelut yang dihadapi penghantar makanan atau ‘rider’ berikutan syarikat penghantaran makanan didakwa mengurangkan upah perkhidmatan mereka menghantar makanan.

Seorang penghantar makanan di sini yang hanya mahu dikenali Zack berkata, mereka sudah tidak mampu untuk bertahan dengan tindakan yang dikenakan oleh syarikat.

Menurutnya, mereka yang tertekan dengan kenaikan kos sara hidup, kini ditambah pula dengan pengurangan upah perkhidmatan mereka menghantar makanan sehingga mereka melancarkan mogok 24 jam bermula malam tadi atau ‘blackout’.

“Blackout ini disebabkan kami tidak puas hati kerana syarikat mengurangkan bayaran upah atas khidmatan penghantaran yang kami lakukan.

“Apabila kami hantar satu pesanan dalam jarak dekat, kami menerima bayaran RM4 tetapi apabila kami dapat pesanan berganda atau tiga kali sehala, bayaran yang kami terima adalah antara RM6 hingga RM8, jadi mana baki duit jika kami hantar tiga lokasi sepatutnya RM12.

“Ke mana wang kami? Siapa yang ambil, siapa yang makan duit itu kerana itu hak kami duit kami dan bukan hak syarikat, itu sebab kami marah,” katanya ketika ditemui.

Di Johor Baharu, sebahagian penghantar makanan di bandar raya itu tidak ‘sanggup’ menyertai mogok ‘Food Delivery Blackout’ selama 24 jam yang dilancarkan bermula tengah malam semalam.

Mereka membuat keputusan itu kerana pekerjaan tersebut merupakan sumber rezeki utama untuk menyara keluarga.

Seorang penghantar makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Azman mengakui tiada keperluan baginya untuk menyertai mogok tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×