RCI Wang Kelian: ‘Kami tanggung kesan’ - Peniaga - Utusan Malaysia

RCI Wang Kelian: ‘Kami tanggung kesan’ – Peniaga

PAPAN tanda perkampungan Wang Kelian, Padang Besar, Perlis. - UTUSAN/SYED AZLAN HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: “Antara kesan besar dihadapi penduduk kawasan ini adalah dengan pemansuhan zon aliran bebas di sempadan Wang Kelian-Wang Prachan”.

Demikian penduduk yang juga peniaga yang hanya dikenali sebagai Ida, 43, mengenai kesan daripada penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma di Wang Kelian dekat sini pada 2015.

Rentetan kes berkenaan, kerajaan memansuhkan zon tersebut yang ‘membunuh’ kawasan perniagaan melibatkan Malaysia dan Thailand.

Menurut Ida kepada Utusan Malaysia, biarpun pemansuhan zon itu membawa kebaikan dengan Wang Kelian tidak lagi menjadi lokasi panas kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), namun di sini lain ia membawa kesan besar.

“Wang Kelian kini tidak lagi menjadi lokasi panas dan tumpuan kemasukan PATI atau sindiket penyeludupan manusia memandangkan kawalan ketat dilakukan pihak berkuasa Malaysia dan Thailand.

“Kejadian di Wang Kelian sebelum ini juga merupakan kegiatan pihak luar dan penduduk di sini sama sekali tidak terlibat namun kami yang terpaksa menanggung kesannya sehingga kini.

“Antara kesan besar dihadapi penduduk kampung kawasan itu adalah dengan pemansuhan zon aliran bebas di sempadan Wang Kelian-Wang Prachan di sini. Sejak zon aliran bebas itu ditutup, kami menanggung kesan yang besar dan ramai penduduk hilang sumber pendapatan selepas kawasan ini menjadi pekan mati,” katanya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan mengenai imbauan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma di Wang Kelian pada 2015 yang merupakan isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.

Malah, lebih 100 rangka manusia juga ditemukan di kawasan kubur itu, dipercayai daripada etnik Rohingya. Penemuan mengejutkan itu menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang berlaku di puncak bukit tersebut pada masa itu.

Rentetan itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan berhubung kes berkenaan dan sesi pendengaran dibentangkan Pengerusinya, Tun Arifin Zakaria bermula 17 April 2019 selepas mendengar keterangan daripada 48 saksi.

Laporan RCI berkenaan tragedi itu dikatakan telah siap bagaimanapun sehingga kini terus kekal menjadi tanda-tanya apabila belum pernah didedahkan.

Namun, meskipun sudah tujuh tahun berlalu, rata-rata penduduk di Kampung Wang Kelian mengakui masih terkesan dengan kejadian tersebut.

Malah, ada dalam kalangan mereka masih terbayang-bayang kes penemuan mayat pada 2015 itu yang sememangnya amat mengejutkan penduduk setempat di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Jon, 45, berkata, pada waktu itu, dianggarkan ratusan pelarian dipercayai warga Rohingya cuba menyelamatkan diri dengan menuruni bukit berhampiran kawasan penempatan itu dalam keadaan lapar dan cedera.

“Memang sangat menyayat hati memandangkan semua mangsa yang berlari turun dari bukit tersebut berada dalam keadaan sangat lapar dan haus selepas dipercayai menjadi tahanan sindiket berkenaan.

“Lebih menyedihkan ada dalam kalangan mereka cedera dan luka kerana perlu berjalan di kawasan bukit berbatu tajam dan berduri bagi menyelamatkan diri turun ke kawasan kampung di sini,” katanya.

Kongsi Jon, seluruh penduduk kampung berkenaan turut menghulurkan bantuan dengan memberikan makanan dan minuman kepada mangsa-mangsa terlibat sebelum menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa.

Katanya, suasana di kawasan kampung yang mempunyai penduduk sekitar 300 orang itu
turut sibuk dengan kehadiran ambulans dan trak pasukan keselamatan yang memberikan bantuan.

“Mangsa terlibat juga dianggarkan perlu berjalan sejauh lima kilometer untuk turun sampai ke kawasan perkampungan ini dari lokasi mereka ditahan sindiket berkenaan.

“Mangsa pemerdagangan manusia yang bergerak dari Bukit Cina itu juga sepatutnya menghala turun ke Bukit Anak Gajah namun mereka telah tersasar laluan dan menuju terus ke kawasan perkampungan ini.

“Pada awal mereka turun, penduduk dan pasukan keselamatan masih belum mengetahui mengenai keberadaan kubur berkenaan sehinggalah dimaklumkan oleh mangsa-mangsa terlibat sewaktu mereka menerima rawatan awal di sini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya