PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU14) menyaksikan semua calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di 14 kerusi Parlimen dan 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kalah teruk.
Lebih mengejutkan 13 calon Parlimen dan 42 calon DUN PH yang bertanding menggunakan simbol PKR itu hilang deposit atau ‘mapuh pozek’.
Ini bermakna Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditolak secara ‘total’ oleh rakyat negeri ini.
PH hanya tidak kehilangan deposit di Parlimen Kota Bharu dan tiga DUN dalam Parlimen itu iaitu Kota Lama, Tanjong Mas dan Bunut Payong.
Situasi itu jelas menunjukkan sokongan rakyat Kelantan terarah kepada pertembungan dua musuh tradisi iaitu Pas dan Barisan Nasional (BN) dalam mana-mana pilihan raya selepas ini.
Sokongan terhadap kedua-dua parti itu dapat dilihat apabila Pas berjaya menyapu sembilan kerusi Parlimen dan 37 DUN, manakala BN sekadar meraih lapan untuk DUN dan lima Parlimen.
Melihat trend itu, PH dijangka berdepan laluan getir sekali lagi di negeri ini. Untuk PRU15, selain Pas yang sudah membentuk gabungan bersama Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN), PH akan menerima tentangan daripada BN serta Gabungan Tanah Air (GTA).
Oleh demikian, PH perlu menyusun strategi yang kukuh untuk sekurang-kurangnya mencuri satu kerusi DUN di negeri ini.
Berpandukan kepada keputusan PRU lalu, kerusi DUN Kota Lama, Tanjong Mas dan Bunut Payong perlu diberikan perhatian oleh PH jika mereka benar-benar mahu menang. – UTUSAN










