Pulih Kompleks Sejarah Pasir Salak libatkan kos tinggi -

Pulih Kompleks Sejarah Pasir Salak libatkan kos tinggi

SUASANA di Stadium Indera Mulia semasa pemimpin kerajaan negeri Perak mendengar masalah rakyat pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2022 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kos pembaikan dan pemulihan Kompleks Sejarah Pasir Salak dekat Kampung Gajah dijangka menelan perbelanjaan yang tinggi berikutan kerosakan yang teruk pada bangunan bersejarah itu.

Walaupun belum menerima jumlah sebenar kos membaiki dan memulihkan kompleks tersebut,  Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui ia memerlukan belanja yang tinggi.

Menurut Saarani, usaha membaiki dan memulih kompleks tersebut sudah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi diberi tanggungjawab untuk melihat pekara itu.

“Kita belum dapat kos sebenar,  tetapi kita sedia maklum kos agak tinggi kerana melibatkan pemuliharaan bangunan yang sudah terbiar dan banyak kayu yang telah reput.

“Kita akan tengok kos, sekiranya kerajaan negeri mampu kita akan gunakan wang kerajaan negeri dan kalau tidak mampu kita kena mohon bantuan daripada kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2022 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Saarani turut menawarkan kepada mana-mana syarikat swasta yang berminat untuk menguruskan kompleks sejarah yang terletak di Kampung Gajah itu  mengemukakan permohonan kertas cadangan (RFP) kepada kerajaan negeri bagi dipertimbangkan.

“Kalau ada mana-mana pihak swasta ingin menguruskan kompleks ini, mereka boleh datang dan bagi kertas cadangan sebab yang penting bukan sahaja memulihara tetapi juga penyelenggaraannya.

“Kerajaan negeri mungkin ada duit nak memulihkannya tetapi nak pastikan ia diselenggara setiap hari memerlukan operator,” katanya.

Sebelum ini pelbagai pihak mempersoalkan status Kompleks Sejarah Pasir Salak, di Kampung Gajah yang kini terbiar dan usang tanpa sebarang tindakan pemulihan diambil pihak bertanggungjawab. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN