KENYATAAN Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari seolah-olah memberikan gambaran bahawa tiada kerjasama antara parti itu dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Pasir Mas itu melahirkan keyakinannya terhadap potensi dimiliki Pas untuk menawan Pahang pada PRU15 jika kena cara dan kaedahnya.
Ahmad Fadhli turut mengajak penyokong PKR dan Pakatan Harapan (PH) memberi undi kepada calon Pas yang bertanding di Pahang dalam pilihan raya umum akan datang.
Pahang antara dua negeri selain Perlis yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahan kemenangan parti itu pada PRU14.
Pada PRU lalu, BN memenangi sembilan daripada 14 kerusi Parlimen apabila cuma tewas di Bentong, Temerloh, Kuantan, Indera Mahkota dan Raub.
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), daripada 42 kerusi, BN memenangi 25 kerusi, Pas (lapan kerusi) manakala PH sembilan kerusi.
Pada 28 April 2021, UMNO Pahang dan Pas Pahang memeterai perjanjian MN yang ditandatangani Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar.
Dalam kenyataan bersama antara UMNO dan Pas ketika itu, kedua-dua parti terbabit memberi jaminan modul perpaduan ummah yang dipersetujui di Pahang perlu dijadikan panduan serta rujukan kepada negeri lain.
Biarpun kerjasama MN dilihat masih baik di negeri ini, namun situasi peringkat Pusat membabitkan menyaksikan ia tidak mungkin direalisasikan di Pahang.
Sewaktu berucap pada Himpunan Hijau 3.0 (H20K) anjuran Pas Pahang di Pantai Sepat, Kuantan pada 31 Julai lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama Pas dengan UMNO dan BN pada PRU15 akan datang perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara.- UTUSAN










