PH lebih kukuh dari Pas di Pahang - Utusan Malaysia

PH lebih kukuh dari Pas di Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pakatan Harapan (PH) mempunyai sembilan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang mana tujuh dimenangi DAP dan dua PKR pada pilihan raya umum (PRU) lalu berbanding Pas hanya lapan kerusi.

Daripada perbezaan tersebut, boleh dirumuskan bahawa kedudukan PH adalah lebih kukuh jika dibandingkan dengan Pas di negeri ini.

Berikut merupakan kenyataan bersama dikeluarkan Ketua Angkatan Muda Harapan Pahang, Young Syefura Othman; Ketua Pemuda Sosialis DAP Pahang, Leong Wai Hong; Ketua Angkatan Muda Keadilan Pahang, Mohd. Mustaqim Abd. Jalil dan Ketua Pemuda Amanah Pahang, Muhammad Ibrohim Mazalan.

Ia bagi merujuk kenyataan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menjemput penyokong PH untuk bersama-sama menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Pahang.

Menurut kenyataan tersebut, tidak dinafikan PH juga mempunyai visi dan impian yang sama dengan Pas, ingin menumbangkan kerajaan BN dan melakukan reformasi pentadbiran di Pahang sebagai mana dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang.

Namun jelas kenyataan itu, PH tidak mungkin boleh melupakan kejadian Pas bersekongkol bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan BN untuk menjatuhkan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton.

“Pas yang ‘tidur sebantal’ bersama BN melalui Muafakat Nasional (MN) hanya berpisah dan kembali memusuhi BN setelah menjalinkan hubungan luar dengan Bersatu dan kemudiannya menubuhkan gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Tindakan ini menunjukkan Pas parti yang hanya mementingkan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kuasa. Tindakan ini membuktikan sebarang kerjasama dengan Pas tidak menjamin sesuatu hubungan politik yang stabil dan utuh.

“Satu soalan yang ingin diajukan kepada Pas ialah bolehkah Pas memberikan jaminan untuk tidak bertanding di sembilan kerusi yang dimenangi PH di Pahang dan memastikan komponen mereka dari PN juga tidak bertanding di kerusi-kerusi tersebut?

“Oleh itu, saranan Ketua Pemuda Pas ini wajar dibalas dengan perkataan Inggeris berbunyi ‘thank you, but no thank you’. Tiada keperluan bagi penyokong PH untuk memberikan sokongan kepada Pas mahupun PN yang menjadi punca kejatuhan kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan menjadi satu kerajaan paling gagal dalam sejarah politik negara kita,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan bersama itu, PH selaku ‘kerajaan menunggu’ perlu bekerja keras untuk meraih semula sokongan rakyat dan PH Pahang mesti mempertahankan sembilan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) serta merangka strategi untuk menawan negeri Pahang.

“Parti anggota PH perlu memperbaharui kerjasama dan memelihara keutuhan sedia ada. Fokus utama adalah untuk memenangi pilihan raya yang akan datang agar nasib rakyat Pahang dan alam sekitarnya dapat dipelihara dan diuruskan dengan lebih baik dan telus,” kata kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN