Petinju negara sedia masuk 'gelanggang rakyat' - Utusan Malaysia

Petinju negara sedia masuk ‘gelanggang rakyat’

MUHAMMAD FARKHAN HARON bergambar dengan Onn Hafiz selepas majlis penyerahan watikah pelantikan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Petinju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron bersedia masuk ‘gelanggang’ untuk memberikan khidmat kepada masyarakat serta membawa suara anak muda di negeri ini. 

Muhammad Farkhan, 34, yang menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Zon Medini Iskandar bagi kuota profesional dan badan bukan kerajaan tidak canggung untuk turun padang bagi mendekati penduduk setempat.

Dia yang pernah memenangi tali pinggang Juara Antara Benua Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) mengaku terkejut menerima surat pelantikan itu kira-kira seminggu lalu.

Anak jati Johor itu bertekad untuk membalas budi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menjadi watak penting di sebalik pelantikannya dengan menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

“Tugas ini agak besar dan mencabar juga, dalam masa sama saya berpendapat ini adalah platform terbaik untuk saya dekati masyarakat.

“Saya adalah atlet profesional, dan jawatan baharu ini mungkin berlainan bidang, tetapi saya rasa ini adalah perkara yang baik untuk saya membawa suara anak muda,” katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini hari ini. 

Dilantik

Muhammad Farkhan antara 24 Ahli Majlis yang baharu dilantik untuk berkhidmat di kawasan pentadbiran MBIP.

Barisan Ahli Majlis itu terdiri daripada 12 ahli UMNO, lapan MCA, dua MIC serta dua lantikan khas daripada NGO.

Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Hafiz Ahmad berharap individu dilantik akan memberi komitmen sepenuhnya dalam menjalankan tugas dan amanat untuk kesejahteraan masyarakat setempat.

Figura yang mendapat nama jolokan Southern Tigers itu berkata, tumpuannya terarah membantu golongan peniaga di sekitar Medini Iskandar selain menghidupkan kawasan tersebut dengan pelbagai program yang bermanfaat.

“Kawasan ini (Medini Iskandar) merupakan kawasan baharu. Jadi, masalah dalam kalangan komuniti yang majoritinya golongan T20 dan M40 itu agak kurang.

“Antara masalah yang saya lihat di kawasan hab perniagaan ini ialah kekurangan pengunjung lebih-lebih lagi pada waktu malam. Jadi, itu cabaran yang perlu dipikul untuk menghidupkan kawasan itu seterusnya menjadi kawasan tumpuan,” ujarnya. 

Antara program yang akan dilakukan ialah Drag Day pada setiap bulan di kawasan tersebut yang dijangka akan bermula pada bulan depan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya