Persaingan negeri jiran berbahaya -MB Perlis - Utusan Malaysia

Persaingan negeri jiran berbahaya -MB Perlis

AZLAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perancangan pembangunan antara negeri berjiran perlu saling melengkapi bagi mengelakkan persaingan dan memberi limpahan ekonomi buat negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pertembungan atau persaingan menerusi perancangan projek-projek pembangunan yang bersifat sama antara negeri berjiran dilihat berbahaya serta tidak sihat. 

Azlan berkata, sebagai contoh, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif pada tahun 2014 bagi memajukan Perlis Inland Port (PIP) dan ketika itu hanya negeri ini sahaja mengemukakan syor kepada Majlis Perundingan Fizikal Negara (MPFM) bagi pelaksanaan projek itu.

“Bagaimanapun, baru-baru ini timbul pula di mana sebuah syarikat atau pembangunan yang dimiliki sendiri oleh Kementerian Kewangan telah syorkan untuk diwujudkan pelabuhan darat di salah sebuah negeri jiran kita sebagai sebahagian daripada pembangunan negeri berkenaan.

“Dan saya rasa ini sesuatu yang tidak sihat dan apa yang dilakukan di Perlis ini juga sebenarnya merupakan sumbangan kepada ekonomi negara,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Azlan (BN-Bintong) berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Kassim (BN-Tambun Tulang) yang meminta pandangan beliau mengenai titah ucapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sewaktu pembukaan DUN Perlis berhubung kebimbangan baginda terhadap persaingan tidak sihat dalam usaha membangunkan wilayah dan kawasan berjiran.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, pembangunan di kalangan wilayah dan kawasan berjiran seharusnya saling melengkapi dan bukannya bersaing antara satu sama lain bagi mengelakkan situasi beggar-thy-neighbour dan menggalakkan prosper-thy-neighbour yang lebih menguntungkan.

Dalam pada itu, Azlan berkata, Perlis mempunyai beberapa kelebihan antaranya seperti laluan kereta api namun kemudahan itu tidak digunakan sepenuhnya di mana penggunaan pengangkutan kargo tidak mencecah sehingga lima peratus manakala pengangkutan penumpang juga di bawah 30 peratus.

“Jadi kalau kita tidak gunakan infra ini dengan sepenuhnya ia merupakan satu kerugian buat negara dan kerana itulah idea timbul untuk kita wujudkan PIP di Padang Besar,” katanya. 

Tambah Azlan, sebahagian besar keuntungan projek yang dijana menerusi pelaksanaan PIP tidak masuk ke kntung kerajaan negeri namun ia lebih memberi kelebihan buat kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri hanya memperoleh cukai-cukai tanah sahaja. Dan selain itu mungkin ada kesan-kesan sampingan yang mungkin diperolehi rakyat negeri ini termasuk peluang pekerjaan namun itu pun belum ada jaminan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya