KUALA TERENGGANU: Kementerian Pendidikan disaran memperkenalkan pendidikan teknikal dan kemahiran (TVET) kepada pelajar di semua sekolah menengah seawal tingkatan satu.
Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung Kebangsaan (GPMS), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, pendedahan awal memudahkan kaunselor di sekolah melihat kecenderungan pelajar sama ada dalam akademik atau TVET.
Menurut beliau, modul-modul yang diberikan kepada kaunselor-kaunselor sekolah perlu dikaji semula supaya pelajar yang tidak berminat dengan akademik beralih mempelajari bidang kemahiran.
Kata Syed Anuar, pada masa ini, pelajar dari tingkatan satu hingga lima juga hanya perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.
“Ini antara inisiatif agar tidak berlaku trend pelajar yang tidak berminat dengan akademik (kerana modul dianggap membosankan atau membebankan), namun terpaksa meneruskan pelajaran hingga menduduki SPM atau lebih teruk, pelajar berhenti sekolah.
“Saya percaya masalah pengangguran dalam kalangan pelajar lepasan SPM akan dapat diatasi sekiranya TVET dapat diperkasakan lebih awal kerana mereka mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang tertentu yang memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya . ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Menurut beliau lagi, kaunselor juga perlu memainkan peranan penting untuk memberikan kefahaman kepada pelajar lepasan SPM bahawa mereka perlu mempelajari bidang-bidang kemahiran di institusi TVET untuk meneruskannya ke tahap lebih tinggi.
Trend
Katanya, trend yang menganggap pendapatan lumayan juga mampu dicapai tanpa kelulusan akademik yang tinggi perlu dihentikan kerana ia hanya bersifat jangka pendek semata-mata.
“Memang benar ada yang meraih pulangan lumayan dengan ekonomi gig seperti menjadi penghantar makanan namun ia memerlukan kudrat tenaga yang kuat dan hanya sesuai untuk umur belia.
“Takkanlah pelajar lepasan SPM ini terus bekerja begitu sehingga umur mencecah 40 atau 50-an, tidak begitu sesuai dengan peningkatan usia, tanggungjawab dan komitmen juga bertambah. Pekerjaan itu hanya sesuai mengisi masa lapang,” ujarnya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 328,700 atau 44.8 peratus daripada anggaran 733,000 rakyat Malaysia yang menganggur
membabitkan pelajar lepasan SPM.
Semakan data survei Tenaga Buruh 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia itu turut menyenaraikan bilangan graduan yang tidak bekerja seramai 92,300 orang diikuti lepasan
Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau setaraf (69,400), pemegang diploma (67,900) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta lain-lain atau setaraf (52,700).- UTUSAN










