PETALING JAYA: Kualiti Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (Pasum) menjadi persoalan ramai berikutan wujud cadangan menaik taraf institusi itu di samping penggantian tenaga pengajar.
Keadaan tersebut sekali gus bakal menyebabkan pusat asasi pertama dan tertua negara berkemungkinan lenyap gara-gara rombakan yang didakwa giat dilakukan pihak pentadbiran universiti secara senyap-senyap.
Difahamkan, sehingga kini seramai 13 pensyarah kanan yang berpengalaman di pusat itu diarahkan berpindah ke Fakulti Sains berkuat kuasa 1 Julai lalu dan dibimbangi lebih ramai lagi akan ditukarkan pada gelombang berikutnya.
Akibatnya, tenaga pengajar di pusat yang melahirkan ramai tokoh pemimpin sejak hampir 50 tahun lalu kini dikuasai kalangan mereka yang berstatus guru.
Ia sekali gus bertentangan dengan matlamat asal penubuhan Pasum oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang ingin memastikan para pelajar dididik oleh pensyarah berkelulusan sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Alumni Lepasan Asasi Sains Universiti Malaya (Plas), Datuk Ir. Wan Nazari Wan Jusoh berkata, tindakan pihak pentadbiran itu seolah-olah sengaja mahu menggugat kedudukan Pasum.
Akademi Asasi
Katanya, rombakan itu dilihat ke arah usaha menukar kedudukan pusat berkenaan kepada Akademi Asasi.
“Walaupun nampak seperti menaik taraf, namun hakikatnya mereka mahu melupuskan kegemilangan dan kejayaan program Pasum, seolah-olah wujud agenda untuk memperlekeh sumbangan Allahyarham Ungku Abdul Aziz.
“Saya pelik mengapa hanya Pasum yang menjadi sasaran mereka dan bukan jabatan-jabatan lain?” soalnya ketika ditemui baru-baru ini.
Pasum yang ditubuhkan pada 1977 menyediakan program pengajian prauniversiti atau matrikulasi dalam bidang sains dan matematik bagi melengkapkan pelajar bumiputera dengan pengetahuan asas sains yang kukuh.
Sepanjang 45 tahun diasaskan, pusat itu kekal menjadi tumpuan pelajar-pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian mereka.
Wan Nazari berkata, Pasum sudah sebati dalam kalangan rakyat Malaysia dan tidak perlu sebarang usaha publisiti yang agresif untuk menaikkan nama pusat berkenaan.
Katanya, ketika ini borang tinjauan mengenai langkah menaik taraf Pasum kepada Akademi Asasi didakwa sudah dihantar kepada kalangan kakitangan menerusi emel.
Dalam pada itu, menurut beliau, sehingga kini Pasum sudah melahirkan hampir 25,000 penuntut dengan 33 daripadanya adalah ahli politik termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) di samping Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba serta Exco-exco di Sarawak.
“Plas akan terus memainkan peranan agar nama Pasum dikekalkan kerana sejarah dan semangat institusi ini. Adalah lebih baik pihak pentadbiran UM memperkasa program-program di Pasum berbanding mahu merobeknya,” katanya.
Sementara itu, pegawai di Pejabat Naib Canselor UM ketika dihubungi tidak dapat mengesahkan maklumat yang dinyatakan tersebut.- UTUSAN










