HAKIKAT yang harus diterima Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Gerakan Tanah Air (GTA) mengenai Parlimen Jasin adalah kerusi itu salah satu kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Melaka.
Dengan rekod memenangi empat daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, BN menerusi UMNO dijangka tidak berdepan masalah mempertahankannya buat kali ke-15.
Namun persoalan yang timbul adalah siapakah calon yang bakal diketengahkan UMNO memandangkan penyandang kerusi selama tiga penggal, Datuk Seri Ahmad Hamzah mengumumkan ‘persaraan’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jika diamati komposisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Jasin, empat daripada lima penyandang adalah orang muda melainkan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (BN-UMNO).
Mereka ialah ADUN Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (PN-Bersatu); ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-UMNO); ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh (BN-UMNO) dan ADUN Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis (BN-UMNO).

MUHAMAD AKMAL SALEH
Muhamad Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka dilihat berpotensi diangkat menggantikan Ahmad, berdasarkan ‘popularitinya’ mendekati pengundi dengan cara tersendiri.
Beliau pernah mengagihkan sebanyak 1,000 kuntum bunga buat golongan ibu di Merlimau sempena Hari Ibu, hal ini menunjukkan Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka itu agak terkenal dalam kalangan masyarakat Jasin.
Bagaimanapun, kredibiliti Khaidhirah atau lebih ‘masyhur’ dengan nama Dira Abu Zahar juga tidak boleh dipandang sebelah mata, siapa tahu UMNO mahu memecah tradisi meletakkan calon wanita pertama di kerusi berkenaan.

Tambahan, beliau adalah anak kepada bekas Ahli Parlimen Jasin dan Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin.
Dalam pada itu, PN dijangka meletakkan Mohd. Yadzil yang kini memegang jawatan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka.

Kemampuan muka baharu seperti Mohd. Yadzil merampas DUN Bemban daripada PH ketika PRN Melaka menjadi antara asbab mengapa beliau perlu diberi tanggungjawab tersebut.
Untuk rekod, pada PRU14, BN memenangi Parlimen Jasin dengan majoriti tipis 219 undian menewaskan calon PKR, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan calon Pas, Abd. Alim Shapie. – UTUSAN











