Penjawat awam perlu pertahan kerajaan - Utusan Malaysia

Penjawat awam perlu pertahan kerajaan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Golongan penjawat awam perlu bersama Perdana Menteri ke arah mencapai kejayaan negara dengan melihat peranannya sebagai ketua kerajaan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa sama setiap penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan daripada pelbagai dakwaan dan fitnah kononnya pentadbirannya gagal dan tindakan itu bukannya dilihat sebagai mempertahankan parti politik.

Kata beliau, perkara itu boleh dilihat melalui banyak pencapaian kerajaan yang dikecapi seperti pencapaian cemerlang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merekodkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

Selain itu, jelasnya, usaha mewujudkan pekerjaan mencecah 400,000 serta prestasi nilai dagangan melepasi RM2 trilion.

“Apabila tuan puan mempertahankan kerajaan, tuan puan tidak berpolitik. Jangan lihat saya sebagai pemimpin politik, tetapi sebagai ketua kerajaan dan tuan puanlah anggota kerajaan.

“Kerajaan ini adalah kerajaan bersama, sebab itu saya perkenalkan konsep Keluarga Malaysia sebab saya nak kita bersama anggap kerajaan ini sebagai satu keluarga,” katanya pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau mahu penjawat awam bekerja sebagai satu keluarga dan tidak bekerja dengan budaya silo kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab bersama.

Ini kerana katanya, cara kerja sedemikian akan menyebabkan kegagalan kepada sesuatu tindakan atau perancangan.

Selain itu, kata beliau, kerenah birokrasi terhadap pelabur juga perlu dikurangkan terutama melibatkan tempoh kelulusan yang mengambil masa panjang kerana ia sering dibangkitkan kumpulan berkenaan ketika beliau mengadakan lawatan ke luar negara.

“Banyak kementerian terbabit dalam perkara sama dan akhirnya menyebabkan kelewatan. Bagi pelabur, peniaga, masa adalah sangat penting. Lewat kelulusan akan menyebabkan kerugian pada mereka.

“Kerajaan juga sudah bersetuju mewujudkan unit #MyMudah bagi menangani isu birokrasi. Unit ini akan ditubuhkan di semua kementerian dan agensi Persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan urusan perniagaan di seluruh negara,” katanya.

Berhubung kejayaan kerajaan merintis kerjasama dengan pembangkang menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, Perdana Menteri memberitahu, ia bagi membolehkan kerajaan menumpukan kepada perkara besar seperti kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.

Malah menerusi MoU itu, katanya, Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti berjaya diluluskan meskipun ia hangat diperbahaskan di Parlimen.

“Dari sudut ekonomi kita sudah berjaya, RUU Anti Lompat Parti juga sudah lulus 100 peratus oleh Ahli Dewan dan kita akan memperkenalkan RUU undang Pendanaan Politik,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya