Penghantar makanan di JB operasi seperti biasa - Utusan Malaysia

Penghantar makanan di JB operasi seperti biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebahagian besar penghantar makanan di bandar raya ini tidak ‘sanggup’ menyertai mogok ‘Food Delivery Blackout’ selama 24 jam yang dilancarkan bermula tengah malam tadi.

Mereka membuat keputusan itu kerana pekerjaan tersebut merupakan sumber rezeki utama untuk menyara keluarga.

Seorang penghantar makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Azman mengakui tiada keperluan baginya untuk menyertai mogok tersebut.

“Saya tidak terlibat dengan mogok tersebut kerana walau apa berlaku sekalipun saya tetap perlu mencari pendapatan untuk keluarga. Jadi, walaupun mogok hanya sehari saya buat keputusan untuk terus bekerja.

“Jangan salah faham, saya tidak menghalang mana-mana penghantar makanan untuk menyertai mogok terbabit, namun, dalam masa sama mereka juga tidak boleh memaksa kami semua untuk menyertai mogok,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Seorang lagi penghantar makanan yang enggan namanya disiarkan turut memaklumkan dia dan beberapa rakannya membuat keputusan untuk terus bekerja hari ini walaupun terdapat mogok dianjurkan.

“Ya, kami tahu ada pihak mahu menganjurkan mogok sehari pada hari ini, tetapi, kami tetap akan keluar kerana pengguna tidak bersalah dan mengapa mereka pula yang perlu dihukum.

“Jadi, hari ini kami jalan seperti biasa, namun, kami tetap berharap permintaan seperti menaikkan kadar komisen dan juga insentif-insentif lain dapat dipertimbang untuk kebaikan semua pihak terlibat,” katanya yang sudah menjadi penghantar makanan selama tiga tahun.

Seorang lagi penghantar makanan turut menghormati keputusan mana-mana pihak yang ingin menyertai mogok berkenaan, tetapi, pada masa yang sama pihak terbabit juga perlu menghormati keputusan penghantar lain yang mahu bekerja seperti biasa.

“Kami bekerja sebagai penghantar makanan atas kerelaan sendiri dan tiada paksaan oleh mana-mana pihak. Jadi, buat mana-mana individu yang mungkin tidak berpuas hati boleh memilih kerjaya lain.

“Saya tidak kata kerja ini sempurna, memang banyak kekurangan, namun, apa-apa kerja pun tetap ada kekurangan, sekurang-kurangnya kerja ini fleksibel dan pendapatan juga lebih baik berbanding kerja saya sebelum ini,” katanya yang bekerja sebagai pembantu restoran sebelum menjadi penghantar makanan. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya