Penduduk Langkawi mahu tiket diskaun disegerakan - Utusan Malaysia

Penduduk Langkawi mahu tiket diskaun disegerakan

KENAIKAN harga tiket feri membebankan penduduk Langkawi ekoran isu pembelian dalam talian yang tidak menyediakan kadar harga istimewa kepada mereka sehingga Oktober ini di Pulau Langkawi. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penduduk Langkawi melahirkan rasa kesal dengan sikap pengusaha feri yang lambat menyediakan kemudahan untuk harga istimewa tiket kepada mereka susulan kenaikan tambang pengangkutan awam itu, baru-baru ini.

Rata-rata penduduk beranggapan harga itu sepatutnya diselaraskan pada hari pertama kenaikan berkenaan bagi pembelian dalam talian yang membolehkan mereka mendapat keistimewaan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir mendakwa, pengusaha feri berkenaan tidak menunaikan janji untuk menawarkan tiket harga istimewa kepada penduduk Langkawi yang juga menjadi syarat utama kenaikan harga itu.

“Pengusaha mungkir janji. Isu kenaikan ini sangat sensitif kepada penduduk Langkawi dan sebelum kenaikan itu diluluskan kerajaan, mereka (pengusaha feri) memberi jaminan, orang Langkawi akan memperoleh harga tiket istimewa. Mana janji itu?

“Tetapi ini tidak, orang Langkawi perlu menunggu sehingga Oktober untuk mendapat keistimewaan itu. Kenapa Oktober? Bukan sekarang? Orang Langkawi bukan kaya raya, berapa banyak kerugian yang perlu mereka tanggung dahulu sebelum keadaan diperbetulkan. Kita desak aplikasi tiket dalam talian ini dinaik taraf secepat mungkin,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga sering mendapat aduan tentang jualan tiket di kaunter yang sering kehabisan menyebabkan mereka terpaksa menggunakan aplikasi dalam talian.

“Banyakkanlah kuota tiket di kaunter kerana itu sahaja cara orang Langkawi boleh beli tiket harga istimewa. Ini tidak di kaunter asyik habis saja tetapi dalam talian ada lagi. Ia tidak adil untuk orang Langkawi,” jelasnya.

Dalam pada itu menurut seorang penduduk, Abu Bakar Ahmad, 43, sebagai penduduk jati Langkawi tindakan pengusaha feri berkenaan dilihat sangat membebankan mereka.

“Tempat lain tambang naik juga tapi tak isu macam ini pun kerana mereka buat persiapan lengkap. Ini tidak naik dahulu, baru nak naik taraf aplikasi untuk tambang istimewa kepada kami.

“Oktober lambat lagi kenapa harus lewat macam itu dan dalam tempoh dua bulan ini penduduk Langkawi perlu bayar harga sama saja untuk belian dalam talian yang tiada keistimewaan. Ini sangat membebankan kami,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Raof Ishak, 59, juga mempersoalkan tiket feri jualan kaunter yang selalu kehabisan berbanding dalam talian.

“Kalau sudah tahu harga istimewa ini hanya diperoleh di kaunter saja jadi banyakkan jualan di kaunter khusus untuk penduduk Langkawi sahaja. Ini sangat membebankan orang Langkawi terutama yang harus menggunakan feri setiap hari. Kita harap perkara ini selesai secepat mungkin tak perlulah tunggu sampai Oktober nanti,” katanya.

Akhbar melaporkan baru-baru ini, tiket feri bagi laluan Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi mengalami kenaikan antara RM3 hingga RM11.50 satu hala. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya