Pendidikan digital bakal diperkasakan seluruh negara   -

Pendidikan digital bakal diperkasakan seluruh negara  

RADZI Jidin meluangkan masa bersama pelajar di kelas hibrid selepas melancarkan Majlis Transformasi Pendidikan : Pemerkasaan ICT di SMK Putrajaya Presint 18. - UTUSAN/ FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sedang dan bakal melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menambah baik lagi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di seluruh negara.

Menteri Kanannya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, antara usaha tersebut ialah penggantian segera semua komputer usang di sekolah menerusi kaedah sewa untuk guna.

“Dengan cara ini, tiada lagi pembelian komputer baharu tetapi sekolah akan menerima set baharu dibekalkan vendor tertentu untuk tempoh lima tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan secara rasmi Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT (2019-2023) di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) di sini hari ini.

Inisiatif itu selaras dengan misi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) ke arah penggunaan teknologi digital dalam ekosistem sekolah termasuk sesi PdP lebih luas.

Pada acara itu, beliau turut menyerahkan peranti kepada 25 buah sekolah di Putrajaya di bagi keperluan PdP di bawah Projek Perkhidmatan Sewaan Perkakasan ICT secara sewa guna.

Mengulas lanjut, Mohd. Radzi berkata, menerusi pendekatan baharu itu, pihak sekolah tidak perlu lagi risau jika komputer rosak untuk dibaik pulih atau penyelenggaraan rutin berkala.

“Semua ini diuruskan sepenuhnya vendor termasuk isu waranti kerana saya tahu ada sekolah tidak mampu ganti set yang rosak atau terpaksa tunggu masa panggil juruteknik,” katanya.

Lebih menarik, pihak sekolah akan dibekalkan komputer jenis riba yang mudah dibawa ke mana-mana dan bukan lagi jenis meja yang terikat di makmal, pejabat sekolah dan bilik guru.

Ia akan melibatkan tiga fasa malah fasa pertama sudah bermula tahun lalu membabitkan 3,910 buah sekolah dengan peruntukan RM411 juta yang kemajuannya mencapai 90 peratus.

Secara keseluruhan, proses penggantian komputer itu menelan perbelanjaan RM1.3 bilion dan beliau optimis kesemua 10,765 buah sekolah akan menerimanya menjelang akhir 2023.

“Alhamdulillah, daripada maklum balas yang kita terima, pihak sekolah terbabit amat gembira dengan program ini bahkan kualiti liputan kesalinghubungan juga telah dinaik taraf,” jelasnya.

 Uniknya, kata beliau, pihak sekolah juga akan menerima peralatan baharu selepas lima tahun dan dibekal dengan talian gentian optik berkelajuan tinggi serta liputan stabil sepanjang masa.

Pada waktu sama, ujarnya, sebanyak 110 buah sekolah lagi di negara ini akan terpilih dalam Projek Rintis Kelas Hibrid yang dengan setiap institusi tersebut bakal melibatkan lima kelas.

Pihak kementerian ujar beliau, dalam peringkat akhir pemilihan sekolah untuk merintis projek itu dan sekiranya, berjaya ia akan dikembangkan kepada banyak institusi lain secara berfasa.

Kelas hibrid itu membolehkan guru dan murid berkongsi PdP yang unik daripada pelbagai sekolah lain secara dalam talian di samping bertukar-tukar kaedah pengajian agar lebih kreatif.

Dalam nada optimis, beliau berharap kaedah terkini itu akan meningkatkan lagi mutu PdP dan penggunaan teknologi digital di bawah ekosistem pendidikan negara ke arah lebih cekap.

Transformasi tersebut juga kata Mohd. Radzi, akan mengubah landskap pendidikan nasional agar seiring perkembangan pesat yang digariskan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya