Pelaburan digital raih RM7 bilion, 10,000 peluang kerja - Utusan Malaysia

Pelaburan digital raih RM7 bilion, 10,000 peluang kerja

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia meraih pelaburan digital lebih RM7 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun ini dan dijangka mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan baharu. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelaburan yang diperoleh itu daripada Pelaburan Digital Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Digital Langsung Domestik (DDI). 

Menurut beliau, pelaburan digital itu dipacu oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sekali gus membantu menjadikan Malaysia sebagai hab digital di ASEAN. 

“Pencapaian ini membuktikan bahawa Malaysia berada pada kedudukan  terbaik untuk mencapai sasaran pelaburan digital sebanyak RM70 bilion menjelang  tahun 2025, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia  (MyDIGITAL).

“Pelaburan digital penting dalam proses pemulihan ekonomi, kerana ia akan mewujudkan pekerjaan berpengetahuan tinggi dan membantu mempercepatkan inovasi serta adaptasi teknologi dalam Revolusi Perindustrian Keempat (4IR),” katanya dalam sidang akhbar hari ini. 

Katanya, pelaburan digital berkenaan diperoleh daripada 53 buah syarikat yang berkembang pesat dan terkemuka dalam industri daripada pelbagai negara termasuk Australia, China, Jepun, Singapura, Switzerland, Belanda, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Dalam sidang akhbar sama, Annuar berkata, kerajaan menggesa syarikat telekomunikasi tempatan meningkatkan kualiti capaian jalur lebar demi kemudahan rakyat. 

Kata beliau, berdasarkan audit baru-baru ini, masih terdapat sesetengah lokasi merekodkan kualiti capaian kurang baik. 

Sementara itu, sempena Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini, perarakan pada hari tersebut akan menampilkan kereta kuda Diraja. 

Kereta kuda Diraja itu akan dinaiki Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dari Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke Dataran Merdeka.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN