PETALING JAYA: Pas mengulangi pendirian untuk terus menjayakan penyatuan ummah bagi memastikan agenda satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat dicapai.
Ketua Penerangannya, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, prinsip politik Pas itu jelas sekali gus memberi jaminan akan menyatukan parti-parti politik Melayu sebelum PRU15 melalui apa jua kaedah yang tidak bercanggah dengan syariat dan dasar parti.
Katanya, penyatuan parti-parti politik Melayu-Islam adalah penting bagi mengelakkan pertembungan seperti yang berlaku dalam PRU14 lalu.
“Penyatuan ummah ini akan dilakukan berasaskan tiga prinsip utama yang digariskan oleh Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar beliau iaitu adil kepada semua, satu Keluarga Malaysia dan Islam memimpin.
“Seiring dengan slogan ‘Islam Menyatukan Ummah’, Pas menyeru semua pihak mendukung agenda penyatuan ummah ini dan bersama membina semula negara Malaysia yang sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Khairil Nizam, kemenangan Pakatan Harapan (PH) semasa PRU14 merupakan mimpi ngeri buat rakyat dan negara.
Malah, katanya, sepanjang 22 bulan memerintah, parti itu membawa banyak masalah bukan sahaja kepada rakyat, bahkan kedaulatan negara dan kepentingan umat Islam serta bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.- UTUSAN











