KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendapati rekaan terperinci projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) belum disiapkan atau dimuktamadkan oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).
Berdasarkan laporan prosiding bertarikh 18 November 2020, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz menjelaskan, rekaan terperinci itu juga belum disahkan atau diluluskan oleh pihak berkuasa reka bentuk daripada syarikat itu.
Ahli Jawatankuasa PAC, Ahmad Fadhli Shaari [Pasir Mas]: “Kenapa tidak siap?”
Muez: “Ini berpunca daripada pihak yang hendak sokong (endorse) pelan tersebut adalah daripada Naval Group, ada beberapa komunikasi antara BNS dengan pihak pengeluaran produk tulen (OEM) atau subkontraktor, dia masih belum dapat muktamadkan lagi rekaan terperinci tersebut dengan pihak berkuasa reka bentuk.” katanya.
Pendedahan itu diperoleh daripada laporan PAC setebal 247 muka surat yang dikeluarkan baru-baru ini.
Sebelum ini, dilaporkan tiada satu pun LCS TLDM disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada BNS secara rundingan terus.
Setakat Ogos 2022 menurut jadual asal, sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan kepada TLDM.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pasukan Projek LCS TLDM, Laksamana Pertama Shaiful Bahri Baharuddin dalam prosiding bertarikh 16 Disember 2020 memaklumkan, pasukannya ada memantau isu kelewatan dalam penyediaan rekaan terperinci dan pengeluaran reka bentuk.
Katanya, ia telah dibincangkan dengan BNS dalam mesyuarat kemajuan kerja setiap bulan.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh [Ipoh Timur]: “Biasanya rekaan terperinci ini bila sepatutnya siap? Sebab perjanjian sudah ditandatangan dan harga siling RM9 bilion pun sudah ditetapkan. Dalam tahap mana rekaan ini kena siap?”
Saiful Bahri: “November 2016.”
Kah Woh: “Okay.”
Saiful Bahri: “Jadi, kita sudah lewat.” – UTUSAN










