NGO serah memorandum desak pengampunan diraja kepada Najib

NGO serah memorandum desak pengampunan diraja kepada Najib

PENYOKONG bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhimpun di Pintu 3 Istana Negara bagi penyerahan memorandum pengampunan diraja di sini, hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu memorandum diserahkan Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM) kepada kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Menerusi memorandum berkenaan, terdapat dua tuntutan dibuat iaitu menuntut pengampunan diraja serta merta kepada Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, memorandum berkenaan turut menuntut permohonan diraja untuk menitah Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya dan Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadap Yang di-Pertuan Agong berhubung  kes konflik berkepentingan (conflict of interest) membabitkan siasatan Hakim Negara, Datuk Nazlan Ghazali. 

Presiden PJPNM, Syed Mohamad Imran SN Syed Abdul Aziz ketika ditemui berkata, tuntutan mengenai pengampunan diraja terhadap Najib perlu dilakukan kerajaan.

Kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus memberi satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong, agar pengampunan itu diberikan.

“Kami desak campur tangan Perdana Menteri. Kami tak mahu subahat.

“Selaku ahli UMNO, kami akan tarik sokongan supaya ada pembubaran Parlimen jika tiada tindakan dibuat,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Syed Mohammad Imran bersama 300 penyokong Najib berhimpun secara aman di hadapan Istana Negara bermula pukul 2 petang tadi.

Selepas berkumpul kira-kira 15 minit, Syed Mohammad Imran bersama dua lagi ahli persatuan itu memasuki Istana Negara melalui pintu 3 menyerahkan memorandum kepada Pegawai Perhubungan Akhbar Istana Negara, Husni Yusop.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN